Projek strategik faktor penarik pelabur, pelancong ke Pahang

Wan Rosdy (kiri) ketika program Town Hall Rakyat bersama Tok Wan anjuran Sinar Harian dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Wan Rosdy (kiri) ketika program Town Hall Rakyat bersama Tok Wan anjuran Sinar Harian dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
A
A
A

KUANTAN - Rakyat Pahang perlu bersedia untuk menerima kehadiran pelabur dan peningkatan jumlah pelancong yang dijangka berlaku hasil projek-projek strategik berimpak tinggi yang sedang dibangunkan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Pelabuhan Kuantan yang bakal memacu pembangunan ekonomi Pahang.

Menurutnya, ketiga-tiga projek itu membentuk rangkaian infrastruktur strategik yang memperkukuh kedudukan Pahang sebagai hab logistik dan perdagangan serantau Pantai Timur.

"Projek ECRL yang akan menghubungkan Pahang terus ke Pantai Barat akan memendekkan masa perjalanan serta mengurangkan kos logistik sekaligus membuka peluang besar kepada pembangunan industri, pelancongan dan perdagangan.

"Sementara itu, laluan LTU pula akan menjadi tulang belakang kepada sistem jalan raya moden yang menghubungkan daerah-daerah pedalaman di Pahang Barat dengan bandar utama manakala Pelabuhan Kuantan berperanan sebagai pintu masuk utama perdagangan antarabangsa," katanya.

Wan Rosdy (kiri) ketika program Town Hall Rakyat bersama Tok Wan anjuran Sinar Harian. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Wan Rosdy (kiri) ketika program Town Hall Rakyat bersama Tok Wan anjuran Sinar Harian. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian dalam program Town Hall Rakyat bersama Tok Wan anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, kemudahan yang strategik itu dijangka membantu menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Dalam keadaan sekarang biarpun ketiga-tiga kemudahan itu belum siap sepenuhnya, kehadiran pelancong ke Pahang terus meningkat saban tahun.

"Sektor pelancongan Pahang terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan hampir 13 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga September berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu 13.74 juta pelancong," ujarnya.

Beliau yakin menjelang hujung tahun ini, jumlah kehadiran pelancong dijangka mencapai angka 15 juta.

Sementara itu katanya, inisiatif kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan 16 kilometer radius sepanjang stesen ECRL turut menjadi faktor penarik untuk pelabur dan pelancong.

"Kita ada tujuh stesen di mana kawasan yang diistiharkan ini akan dimajukan dengan bangunan komersial, perumahan pusat tarikan dan sebagainya.

"Di Bentong misalnya, kita lancarkan Pangsapuri Pahangku di mana projek perintis ini bakal menyediakan pilihan kediaman moden, kondusif dan mampu milik kepada rakyat khususnya golongan muda, pekerja bandar dan pasangan berpendapatan sederhana," katanya.

Jelas beliau, Pangsapuri Pahangku dibangunkan berhampiran lokasi Stesen ECRL Bentong dengan penekanan kepada keseimbangan antara perumahan, mobiliti dan pembangunan ekonomi setempat.

"Ini semua bakal menjadi faktor penarik untuk pelabur dan pelancong datang ke Pahang jadi rakyat Pahang perlu bersedia," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Rakyat Pahang perlu bersedia menerima lebih ramai pelabur dan pelancong hasil projek-projek strategik seperti ECRL, LTU, dan Pelabuhan Kuantan
  • Projek ECRL, LTU, dan Pelabuhan Kuantan akan memacu pembangunan ekonomi Pahang menjadikannya sebagai hab logistik dan perdagangan serantau
  • ECRL akan menghubungkan Pahang dengan Pantai Barat, memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan kos logistik
  • Inisiatif pembangunan kawasan sekitar stesen ECRL untuk menarik pelabur dan pelancong dengan menyediakan kemudahan seperti Pangsapuri Pahangku di Bentong
  • Sektor pelancongan Pahang menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah pelancong yang terus meningkat setiap tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!