Anak putus ibu jari, ibu cedera diserang pembantu rumah

Seorang wanita putus ibu jari tangan manakala ibunya cedera di kepala serta tangan dipercayai dicederakan pembantu rumah warga asing menggunakan pisau pemotong daging.
Seorang wanita putus ibu jari tangan manakala ibunya cedera di kepala serta tangan dipercayai dicederakan pembantu rumah warga asing menggunakan pisau pemotong daging.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki putus ibu jari tangan, luka di kepala dan kaki manakala ibunya cedera di kepala serta tangan dipercayai dicederakan pembantu rumah warga asing menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di sebuah rumah di Kotasas di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.43 pagi itu, suspek berusia 44 tahun dipercayai turut mencederakan diri sendiri dengan kesan kelar pada bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa, Wong Siew Kwan, 57, berada di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah terdengar jeritan anaknya, Lee Qi Zhen, 28, dari tingkat bawah.

Menurutnya, wanita itu segera turun sebelum ternampak anak lelakinya sedang bergelut dengan pembantu rumah di ruang tamu.

"Wanita yang bekerja sebagai akauntan itu terus ke arah pembantu rumahnya itu untuk meleraikan pergaduhan tersebut namun suspek bertindak melibas pisau dan terkena kepalanya.

"Selepas mangsa berjaya merampas pisau yang digunakan, suspek bertindak lari ke dapur dan cuba mengambil pisau lain," katanya.

Ashari berkata, mangsa dan anaknya cuba menghalang suspek hingga berlaku pergelutan di ruang dapur.

"Semasa pergelutan berlaku, wanita itu bertindak mengambil semua pisau yang ada di ruang dapur dan mencampakkannya ke luar melalui tingkap sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan," ujarnya.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai disebabkan suspek mengalami tekanan bekerja dengan majikannya itu, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan suspek pernah mengadu kepada ejen tentang tekanan bekerja di rumah majikannya itu yang lebih besar berbanding rumah dahulu selain suasananya yang panas dan tidak selesa.

"Suspek sudah bekerja selama 10 bulan dan hanya mangsa dan suspek tinggal di rumah tersebut, bagaimanapun semasa kejadian mereka bertiga di situ," katanya.

Jelas beliau lagi, pasukan siasatan bersama pihak forensik ke tempat kejadian dan merampas barang kes iaitu tujuh bilah pisau pelbagai jenis.

"Mangsa dan suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di mahkamah pada Rabu," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita putus ibu jari dan cedera diserang pembantu rumah warga asing dengan pisau di Kuantan
  • Pembantu rumah berusia 44 tahun turut cedera mengelar tangan sendiri selepas serangan
  • Kejadian berpunca dari tekanan kerja, pembantu serang majikan dan anaknya dalam rumah
  • Wanita dan anaknya meleraikan pergaduhan, menghalang suspek ambil pisau lain dengan mencampakkan pisau keluar tingkap
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, barang bukti dan suspek dihantar ke hospital untuk rawatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!