Padang Astaka ‘milik’ Cobra Blacks!

SKUAD muda Akademi Cobra, Cobra Blacks, muncul dominan dalam Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) Mini 2025 bagi Kategori Bawah 15 Tahun (B15) selepas mengekalkan rekod sempurna sepanjang kejohanan, termasuk menafikan pasukan lawan daripada menjaringkan sebarang mata.
Kejohanan di Padang Astaka, Petaling Jaya, menyaksikan Cobra Blacks menewaskan semua lawan dalam lima perlawanan peringkat kumpulan dengan purata 31 mata setiap perlawanan, sebelum menundukkan pasukan KL Saracens 28-0 dalam perlawanan akhir.
Secara keseluruhan, pasukan tersebut mengumpul 184 mata daripada enam perlawanan, membuktikan kecekapan pertahanan yang kukuh dan strategi serangan yang berkesan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar, berkata kejayaan berkenaan berpunca daripada disiplin, hormat, integriti, semangat dan solidariti yang diterapkan dalam kalangan pemain, tanpa mengira kemenangan atau kekalahan.
“Terdapat pemain yang tidak terpilih atau mewakili sekolah lain, namun mereka tetap saling menyokong antara satu sama lain sepanjang kejohanan. Ini sejajar dengan sasaran akademi untuk mengekalkan budaya seimbang antara prestasi dan nilai teras,” katanya.
Menurutnya, Akademi Cobra menghantar tiga pasukan ke kejohanan kali ini iaitu dua pasukan B15 (Cobra Blacks dan Cobra Stingers) serta satu pasukan B16.
Pasukan B16 menamatkan kejohanan di tempat keempat daripada 10 pasukan, manakala Cobra Stingers B15 menduduki tempat ketujuh.
Ringkasan AI
- SKUAD muda Akademi Cobra, Cobra Blacks, menjuarai Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) Mini 2025 Kategori Bawah 15 Tahun dengan rekod sempurna
- Cobra Blacks menewaskan semua lawan dalam lima perlawanan peringkat kumpulan dan menang 28-0 dalam perlawanan akhir menentang KL Saracens
- Pasukan tersebut mengumpul 184 mata sepanjang enam permainan dengan pertahanan kukuh dan strategi serangan efektif
- Kejayaan Cobra Blacks dikaitkan dengan disiplin, hormat, integriti, semangat dan solidariti antara pemain
- Akademi Cobra menghantar tiga pasukan ke kejohanan, dengan pasukan B16 berada di tempat keempat dan Cobra Stingers B15 di tempat ketujuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
