PRN Sabah: BN mahu 'Bikin Balik Sabah' untuk rakyat, negeri - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) menggunakan slogan 'Bikin Balik Sabah' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 sebagai pembakar semangat buat jentera parti dan pengundi untuk memastikan kemenangan demi perubahan serta pembangunan negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi slogan berkenaan, ekonomi negeri akan dipulihkan semula supaya dapat menjana peluang pekerjaan untuk anak tempatan, menarik pelaburan serta membolehkan belia, wanita dan usahawan desa berdikari.

"Sabah sentiasa untuk rakyat Sabah dan kita mahu slogan kita 'Bikin Balik Sabah' ini mesti kita betul-betul lakukan. Kita mahu PRN pada kali ini, kita lakukan game changer (pencetus perubahan), kita lakukan perubahan-perubahan yang drastik untuk rakyat Sabah.

"Ekonomi Sabah mesti dihidupkan semula supaya rezeki rakyat Sabah bukan hanya diberikan pada kroni-kroni," katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN untuk PRN Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Naib Pengerusi BN merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Naib Pengerusi BN merangkap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi slogan sama, BN akan memastikan perpaduan di Sabah dapat diperbaiki dan tidak boleh lagi terperangkap dalam drama perebutan kuasa yang hanya menjadikan keharmonian terancam.

"Kita perlu kerajaan yang matang, berintegriti dan fokus membina rakyat supaya rakyat tidak digunakan sebagai drama politik ataupun rakyat mahu supaya masa depan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah terjamin," katanya.

Presiden UMNO itu berkata, kestabilan politik juga ditekankan di bawah slogan sama kerana ia kunci utama yang dapat memacu Sabah menjadi negeri maju dan makmur.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, PRN ke-17 bukanlah pesta logo sebagaimana pada pilihan raya negeri sebelum ini yang menyaksikan 14 parti politik bertanding, sebaliknya ia platform untuk rakyat memilih kerajaan negeri yang mampu menyelesaikan masalah dihadapi dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, antara masalah yang mesti segera ditangani ialah bekalan air bersih, elektrik dan kemiskinan.

"Orang Sabah sangat rindu kepada Barisan Nasional. Di tangan kita itulah rindu mesti dikembalikan kepada rakyat dan pengundi BN, kita balas kerinduan itu dengan khidmat yang terbaik daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri BN (jika menang)," katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan BN atau UMNO tidak berhasrat membawa calon dari Semenanjung pada PRN ke-17 yang akan diadakan 29 November ini, sebaliknya semua calon adalah dalam kalangan anak tempatan. - Bernama

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional menggunakan slogan 'Bikin Balik Sabah' untuk PRN Sabah ke-17 untuk memacu semangat dan kemenangan
  • Slogan itu bertujuan pulihkan ekonomi Sabah, cipta peluang pekerjaan, dan tarik pelaburan
  • Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keperluan untuk hidupkan semula ekonomi Sabah agar manfaatnya merata, bukan hanya untuk kroni
  • Kestabilan politik dan perpaduan di Sabah ditekankan sebagai kunci utama pembangunan dan kemakmuran negeri
  • PRN Sabah bukan pesta logo tetapi platform memilih kerajaan negeri untuk selesaikan masalah rakyat seperti air bersih, elektrik, dan kemiskinan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!