Kerajaan perlu yakinkan pengguna bekalan makanan mencukupi

Darshan Singh
Darshan Singh
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan perlu meyakinkan pengguna bahawa bekalan makanan mencukupi bagi mengelakkan pembelian panik yang mengakibatkan ramai tidak dapat membeli barangan diperlukan.

Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Darshan Singh berkata, kerajaan perlu terus berhubung dengan pemain industri untuk mengenalpasti aspek pengeluaran terutama bahan makanan asas.

“Satu aspek penting yang memerlukan perhatian spesifik kerajaan ialah memastikan tiada kenaikan harga dan bekalan juga tidak sengaja diputuskan dengan niat untuk menaikkan harganya.

“Dalam keadaan krisis seperti ini setiap lapis pengguna, peniaga atau kerajaan perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pengguna hanya perlu bersabar dan percaya dan patuh kepada kerajaan untuk melakukan yang terbaik untuk negara jika mahu Perintah Kawalan Pergerakan berakhir dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pastinya bukan mudah untuk duduk di rumah sahaja. Jadi kita perlu patuh kepada arahan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir pada 31 Mac ini dilanjutkan kepada 14 April berikutan trend positif baharu dijangka akan berterusan.

Katanya, permakluman pelanjutan Tempoh Kawalan Pergerakan lebih awal supaya rakyat Malaysia lebih bersedia.

Artikel Berkaitan: