Lelaki rugi RM9,000, diugut dengan video bogel

Polis menerima laporan yang mendakwa mangsa diugut untuk disebarkan gambar bogel pada 5 November lalu. - Gambar hiasan
Polis menerima laporan yang mendakwa mangsa diugut untuk disebarkan gambar bogel pada 5 November lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK – Seorang lelaki berputih mata selepas menjadi mangsa ugutan video bogel oleh wanita yang dikenali menerusi aplikasi cari kenalan sehingga kerugian sebanyak RM9,000 baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 5 November lalu yang mendakwa diugut untuk disebarkan video bogelnya selepas berkenalan dengan wanita terbabit.

Beliau berkata, mangsa berumur 23 tahun itu pada awalnya berkenalan dengan suspek melalui aplikasi berkenaan sebelum mereka bertukar nombor telefon dan mula berhubung menerusi aplikasi WeChat.

"Suspek menunjukkan minat terhadap mangsa dan memujuknya untuk membuat panggilan video.

"Semasa panggilan itu, suspek meminta mangsa menanggalkan pakaian dan turut berpura-pura melakukan perkara sama bagi meyakinkannya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, bagaimanapun, selepas sesi panggilan video itu, suspek menghantar mesej menerusi WhatsApp sambil mengugut akan menyebarkan rakaman berkenaan jika mangsa enggan membuat bayaran.

"Mangsa yang bimbang maruahnya tercemar kemudiannya membuat dua kali bayaran ke satu akaun bank.

"Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM9,000 selepas membuat bayaran kepada suspek," katanya.

Menurutnya, siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti pemilik akaun bank tersebut dan nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki di Gombak kerugian RM9,000 selepas menjadi mangsa ugutan video bogel
  • Lelaki 23 tahun berkenalan dengan wanita melalui aplikasi cari kenalan dan berkomunikasi menerusi WeChat
  • Suspek memujuk mangsa untuk buat panggilan video bogel sebelum mengugut menyebarkan rakaman tersebut
  • Mangsa membuat bayaran sebanyak dua kali ke dalam satu akaun bank
  • Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti pemilik akaun dan nombor telefon suspek, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!