Muhyiddin ucap takziah atas pemergian ibu Presiden Indonesia

Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo atas pemergian ibu beliau.

"Saya baru sahaja menerima khabar dukacita bahawa Ibu Sujiatmi Notomiharjo (ibunda kepada bapak Joko Widodo) telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi," katanya dalam satu hantaran menerusi akaun Facebooknya sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, beliau dan seluruh rakyat Malaysia turut mengucapkan takziah dan berdukacita di atas pemergian Almarhumah yang merupakan kehilangan besar pemimpin itu dan seluruh rakyat Indonesia.

"Semoga Bapak Presiden Joko Widodo dan keluarga diberi ketabahan dan kesabaran oleh ALLAH atas dugaan yang besar ini.

"Saya berdoa semoga roh Almarhumah diterima segala amal ibadahnya, diampuni segala dosa-dosa, dan ditempatkan di kalangan roh hamba-hamba ALLAH yang soleh," katanya.

Menurut laporan media Indonesia, Sujiatmi meninggal dunia di Surakarta, Jawa Tengah pada usia 77 tahun.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Presiden, Jokowi berlepas dari Jakarta dan tiba di Surakarta pada jam 5.52 petang tadi.

Artikel Berkaitan: