PRN Sabah: BN perkenal AI Chatbot kenali calon, lawan berita palsu

Ahmad Zahid (duduk, dua dari kiri) melancarkan AI Chatbot BN Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Ahmad Zahid (duduk, dua dari kiri) melancarkan AI Chatbot BN Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah memperkenalkan AI Chatbot BN Sabah sebagai inisiatif teknologi baharu untuk memperkenalkan calon-calon BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu langkah strategik BN untuk mendekati pengundi muda serta memodenkan cara komunikasi parti dalam era digital.

Katanya, AI Chatbot tersebut berfungsi sebagai platform interaktif yang membolehkan rakyat khususnya golongan muda dan pengundi baharu mengenali calon-calon BN dengan lebih dekat, memahami latar belakang mereka, serta mengikuti aktiviti kempen dan dasar perjuangan BN di seluruh Sabah.

"Selain memperkenalkan calon, inisiatif ini juga menjadi usaha BN Sabah dalam menangani penularan berita palsu (fake news) yang semakin berleluasa di media sosial menjelang pilihan raya.

"Chatbot ini akan menyalurkan maklumat sahih dan rasmi secara terus kepada rakyat, sekali gus memastikan setiap maklumat yang diterima adalah tepat dan berfakta," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, platform AI Chatbot akan beroperasi sepenuhnya mulai Rabu depan, bertepatan dengan fasa kempen utama menjelang PRN ke-17 dan boleh diakses melalui dua saluran utama iaitu www.prnsabah.com serta di laman Facebook, BNComm Sabah.

"Chatbot tersebut menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya yang mampu menjawab pelbagai soalan berkaitan calon, manifesto, jadual kempen, serta pencapaian BN di Sabah.

"Direka secara mesra pengguna dan interaktif, ia memberi peluang kepada rakyat, terutamanya anak muda yang mungkin belum mengenali calon secara dekat, untuk berinteraksi terus dengan maklumat rasmi parti," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa langkah itu mencerminkan kesungguhan BN untuk beradaptasi dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga membuktikan bahawa BN bukan sekadar parti bersejarah, tetapi parti yang terus bergerak seiring kemajuan teknologi dan aspirasi rakyat," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional Sabah memperkenalkan AI Chatbot sebagai inisiatif teknologi baharu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17
  • Pelancaran AI Chatbot untuk mendekati pengundi muda dan memodenkan komunikasi parti
  • Chatbot berfungsi sebagai platform interaktif untuk mengenali calon-calon BN, memahami latar belakang dan mengikuti aktiviti kempen
  • Inisiatif ini juga bertujuan menangani penularan berita palsu di media sosial
  • Chatbot, yang menggunakan sistem kecerdasan buatan sepenuhnya, akan beroperasi mulai Rabu depan dan boleh diakses melalui www.prnsabah.com dan di laman Facebook BNComm Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!