Institusi zakat bukan amalan ritual tahunan - PM

PERMATANG PAUH – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa institusi zakat perlu difahami bukan sekadar amalan ritual tahunan tetapi sebagai teras penting dalam membina keadilan sosial dan menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negara ini.
Beliau berkata, zakat mempunyai peranan besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat terutama golongan daif, fakir dan miskin, sebagaimana yang pernah digariskan oleh tokoh ulama terkemuka, Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
“Kadang-kadang kita anggap zakat hanya sebagai ibadah biasa, tetapi lupa bahawa negara ini harus berdiri atas kekuatan institusi zakat dan dasar ekonomi yang menyelesaikan nasib rakyat yang tersisih dan terpinggir,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Madani Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah di sini pada Sabtu.
Tambah Anwar, tanggungjawab menunaikan zakat bukan sahaja berkaitan ketakwaan kepada ALLAH SWT tetapi berkait dengan hubungan sesama manusia dalam mengangkat martabat mereka yang memerlukan.
“Dalam dasar ekonomi Madani, isu kemiskinan tegar tidak boleh dibiarkan berlarutan.
"Setiap tahun mesti ada jumlah yang diselesaikan dan angka itu mesti terus berkurangan,” ujarnya.
Anwar turut mengingatkan bahawa sejak zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA, zakat dianggap sebagai penting hingga sanggup diisytiharkan perang terhadap golongan yang enggan menunaikannya.
Beliau berkata, semangat itu perlu dijadikan asas dalam memperkukuh peranan zakat pada masa kini supaya tidak hanya menjadi kewajipan individu, tetapi satu sistem sosial yang membela nasib rakyat miskin secara menyeluruh.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan pelancaran Projek Peluncuran Masjid Madani Permatang Pauh yang bakal menjadi mercu tanda baharu komuniti Islam di kawasan itu.
Masjid yang bakal dibina di tapak seluas 2.23 hektar di Taman Arowana, bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan itu dijangka siap pada suku keempat tahun 2027.
Anwar berkata, kos pembinaan masjid iaitu RM80 juta langsung tidak menggunakan dana kerajaan sebaliknya sumbangan daripada dana syarikat-syarikat Islam tempatan dan rakan-rakan Muslim luar negara.
"Daripada RM80 juta itu, RM57 juta itu dari sumbangan kawan-kawan di luar negara. Saya tidak sebut nama mereka kerana mereka tak bagi laluan lagi untuk sebut. Selepas ini jika mereka bersetuju, saya sebut.
"Baki RM23 juta kita sedamg tunggu sumbangan. Jika tiada sumbangan, kerajaan akan tampung RM23 juta tersebut," katanya.
Beliau turut menggesa agar pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan segera tanpa sebarang kelemahan.
"Saya mahu semua kelulusan (perlu) segera. Tindakan segera. Pembangunan segera.
"Dan saya tidak akan tolak ansur apa-apa kelemahan dan kelewatan membina Masjid Agung, Masjid Madani di Permatang Pauh ini. Semoga ALLAH SWT memberkati usaha kita," katanya lagi.
Dengan kapasiti 5,249 jemaah, masjid itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna berhawa dingin, perpustakaan, bilik kuliah, bilik musafir, bilik jenazah, pejabat pentadbiran, enam unit kuarters kakitangan serta kawasan parkir luas bagi kereta dan motosikal.
Masjid dengan keluasan lebih 110,000 kaki persegi itu turut direka bentuk hasil kerjasama arkitek tempatan dan antarabangsa, menjadikannya bukan sekadar rumah ibadah tetapi kompleks komuniti Islam moden yang berperanan memakmurkan syiar Islam selaras dengan konsep Malaysia Madani.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan zakat sebagai teras penting dalam membina keadilan sosial dan menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di Malaysia
- Zakat ditekankan bukan hanya sebagai ibadah ritual tetapi sebagai dasar ekonomi yang membantu golongan daif, fakir dan miskin
- Tanggungjawab menunaikan zakat adalah bahagian dari ketakwaan kepada Allah dan hubungan sesama manusia
- Anwar mengumumkan pelancaran Projek Peluncuran Masjid Madani Permatang Pauh yang dibiayai tanpa menggunakan dana kerajaan, sebaliknya melalui sumbangan
- Masjid baru di Permatang Pauh yang dijangka siap pada 2027 akan menjadi kompleks komuniti Islam moden dengan pelbagai kemudahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

