Lebih 16,500 orang di Gaza perlu rawatan perubatan segera - WHO

LONDON - Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Khamis berkata, lebih 16,500 orang di Gaza memerlukan rawatan perubatan segera, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam hantaran di platform media sosial X, Ghebreyesus berkongsi maklumat mengenai pemindahan pesakit yang dijalankan dari Gaza.
Beliau memaklumkan bahawa WHO telah memindahkan 19 pesakit tenat dan 93 orang pengiring dari Gaza ke Itali untuk menerima rawatan perubatan, sambil menyatakan penghargaan kepada kerajaan Itali atas solidariti dan sokongan mereka.
"Kami menggesa lebih banyak negara menerima pesakit dari Gaza memandangkan lebih 16,500 orang masih memerlukan rawatan perubatan segera yang tidak tersedia di Semenanjung itu,” katanya.
Beliau turut menggesa semua laluan pemindahan, khususnya dari Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, dibuka bagi memudahkan pemindahan pesakit yang memerlukan bantuan. - Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Lebih 16,500 orang di Gaza memerlukan rawatan perubatan segera
- Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan maklumat mengenai pemindahan pesakit dari Gaza
- WHO telah memindahkan 19 pesakit tenat dan 93 orang pengiring dari Gaza ke Itali
- Kerajaan Itali dihargai atas solidariti dan sokongan mereka
- Tedros menggesa lebih banyak negara menerima pesakit dari Gaza dan laluan pemindahan dibuka bagi memudahkan pemindahan pesakit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
