[VIDEO] Ekskavasi kapal purba Melaka capai kedalaman tiga meter, lebih banyak artifak dijangka ditemui
MELAKA - Kerja penggalian di Tapak Ekskavasi Penyelamatan Kapal Purba Melaka berhampiran Pulau Melaka kini mencapai kedalaman tiga meter, dengan jangkaan lebih banyak artifak dan penemuan baharu bakal ditemui.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohamad Muda Bahadin berkata, projek yang bermula pada 24 Oktober 2021 itu kini memasuki fasa keempat dan akan diteruskan sehingga selesai serta dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun lagi bergantung kepada hasil kajian.
Menurut beliau, bukti-bukti yang diperoleh akan dihuraikan melalui kajian saintifik dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk mendapatkan khidmat pakar luar, golongan akademik serta pakar perkapalan dan tukang kapal Melayu.
“Fasa keempat ini melibatkan seramai 24 anggota daripada JWN bersama sukarelawan, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)) serta pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Kajian ini diharap mampu merungkai sejarah baharu Kesultanan Melayu Melaka.
"Kemudian kita bercadang mengadakan persidangan untuk berkongsi dan mendapatkan input-input daripada pakar-pakar luar agar memperkukuhkan lagi pembuktian sejarah Melaka itu sendiri," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau tapak berkenaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerja-kerja penyelidikan dalam fasa keempat masih menumpukan kepada penyelamatan bahagian kapal selain penemuan artifak seperti porselin, tembikar dan duit syiling yang dipercayai digunakan pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud.
“Dalam tempoh singkat ini, kita belum dapat menganalisis semua hasil penemuan. Namun apabila kajian selesai, kita akan kongsikan maklumat yang lebih lengkap kepada umum.
"Kemungkinan lebih banyak penemuan penting akan diperoleh jika penggalian berjaya mencapai bahagian utama kapal berkenaan.
“Berdasarkan ukuran semasa, kawasan penggalian berukuran 12x12 meter dan berkemungkinan akan diperluas memandangkan kapal ini dijangka bersaiz besar,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerja penggalian di Tapak Ekskavasi Penyelamatan Kapal Purba Melaka mencapai kedalaman tiga meter
- Projek ekskavasi bermula pada 24 Oktober 2021 dan dijangka berlangsung selama dua hingga tiga tahun
- Kajian melibatkan penglibatan pakar luar, golongan akademik, dan pakar perkapalan Melayu
- Seramai 24 anggota JWN bersama sukarelawan dan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Malaysia Terengganu terlibat dalam fasa keempat
- Penemuan artifak seperti porselin, tembikar dan duit syiling yang digunakan pada zaman Sultan Mahmud
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

