Sivanesan pemimpin kedua DAP Perak terima gelaran Datuk

IPOH – Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak daripada DAP, A Sivanesan, diumum sebagai penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disambut pada Jumaat.
Beliau menjadi pemimpin kedua daripada parti DAP di negeri ini menerima gelaran kehormat berkenaan selepas Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Gelaran tersebut diberikan sebagai pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan Sivanesan dalam pentadbiran negeri, khususnya melalui portfolio Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional.
Sejak dilantik sebagai Exco pada November 2022, Sivanesan aktif dalam pelbagai inisiatif kerajaan negeri, termasuk pembangunan modul latihan pekerjaan untuk golongan OKU, memastikan kebajikan masyarakat India, serta menangani isu kesihatan awam.
Naib Pengerusi DAP Perak itu turut menekankan kepentingan integrasi antara kaum di Perak melalui pelbagai program inklusif.
Penganugerahan ini menjadi sorotan politik kerana menonjolkan bahawa pemimpin DAP yang berprestasi tinggi bukan sahaja diiktiraf oleh rakyat, malah mendapat pengiktirafan rasmi daripada Istana.
Selain Sivanesan, antara 17 individu yang menerima darjah sama dan membawa gelaran Datuk ialah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon.
Untuk rekod, Ngeh Koo Ham menerima gelaran Datuk selepas dikurniakan Darjah DPMP oleh Almarhum Sultan Azlan Shah pada tahun 2008, sempena ulang tahun baginda yang ke-80.
Ringkasan AI
- Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak dari DAP, A Sivanesan, dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak
- Sivanesan merupakan pemimpin kedua dari DAP di negeri itu yang menerima gelaran kehormat ini
- Anugerah tersebut sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam pentadbiran negeri terutama melalui portfolio Exco Sumber Manusia, Kesihatan, dan lain-lain
- Aktif dalam pelbagai inisiatif negeri sejak November 2022, termasuk pembangunan untuk golongan OKU dan integrasi antara kaum
- Gelaran Datuk juga diberikan kepada individu lain termasuk Exco Pendidikan Perak dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

