Pemilik disaman, kucing peliharaan sering ceroboh rumah jiran

Kucing diberi nama Remy didakwa menceroboh rumah jiran dan merosakkan harta benda penduduk. Foto Agensi
Kucing diberi nama Remy didakwa menceroboh rumah jiran dan merosakkan harta benda penduduk. Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Seorang pemilik kucing di Perancis berdepan tindakan undang-undang selepas haiwan peliharaannya didakwa kerap menceroboh kawasan jiran sehingga menyebabkan kerosakan termasuk kesan tapak kaki pada dinding, air kencing di atas selimut dan najis di taman.

Pemiliknya, Dominique, 70, dari wilayah Hérault, Perancis berkata, dia terkejut apabila menerima notis saman daripada jirannya yang tidak didedahkan identiti.

Pada Januari lalu, mahkamah memutuskan pemilik kucing itu bersalah dan didenda 1,250 euro (RM6,190), selain berdepan penalti tambahan jika Remy melintasi pagar jiran itu lagi.

“Apabila menerima notis sabitan, saya ibarat dipukul teruk.

“Sejak keputusan itu, saya terpaksa kurung Remy dalam rumah. Dia jadi gemuk dan agresif. Saya tak berani lepaskan dia ke taman sendiri kerana bimbang dia melompat pagar.

Seolah-olah dia kena hukuman tahanan rumah,” kata Dominique kepada akhbar Le Parisien.

Dominique mempersoalkan keputusan mahkamah apabila jiran tersebut tidak dapat membuktikan Remy satu-satunya kucing yang berkeliaran, memandangkan terdapat banyak kucing lain termasuk yang terbiar di kawasan itu.

Namun, hakim tetap berpihak kepada plaintif.

Kes tersebut masih belum berakhir apabila Dominique sekali lagi dipanggil ke mahkamah Disember ini, selepas Remy didakwa kembali menceroboh halaman jiran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, Dominique bakal berdepan denda tambahan 2,000 euro (RM9,890) dan penalti harian 150 euro (RM740).

Kes ganjil ini menarik perhatian kumpulan hak asasi haiwan di Perancis yang menyifatkan keputusan mahkamah itu menafikan naluri semula jadi kucing yang suka menjelajah persekitaran mereka.

Tahun lalu, satu kes hampir sama berlaku apabila sepasang suami isteri disaman kerana ayam jantan peliharaan mereka berkokok terlalu kuat. - Agensi

Ringkasan AI

  • Pemilik kucing di Perancis didenda kerana haiwan peliharaannya menceroboh kawasan jiran
  • Dominique menerima notis saman daripada jirannya kerana kerosakan yang disebabkan oleh kucingnya, Remy
  • Mahkamah memutuskan Dominique bersalah dan didenda 1,250 euro
  • Remy terpaksa dikurung dalam rumah untuk mengelak lebih banyak penalti
  • Kes masih berlanjutan dengan potensi denda tambahan dan penalti harian jika Remy menceroboh lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!