PRN Sabah: BN dijangka muktamad jumlah kerusi minggu depan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kiri) beramah mesra dengan media selepas menghadiri Majlis Pembukaan Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (kanan). Foto Bernama
Ahmad Zahid (kiri) beramah mesra dengan media selepas menghadiri Majlis Pembukaan Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa. Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (kanan). Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan jumlah kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, minggu depan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diumumkan secara rasmi ketika beliau berada di Kota Kinabalu.

"Saya akan mengumumkannya apabila saya terbang ke Kota Kinabalu minggu depan,” katanya ketika ditanya sama ada BN akan bertanding kurang daripada 48 kerusi pada pilihan raya itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Festival Idea (FOI) Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid juga berkata, 80 peratus calon yang akan mewakili BN pada pilihan raya itu adalah muka baharu.

Katanya, langkah itu menunjukkan komitmen parti untuk melakukan pembaharuan serta menarik minat pengundi muda di Sabah menyokong BN pada pilihan raya berkenaan.

Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) kini berada pada tahap 95 peratus selesai, dengan hanya beberapa perkara teknikal masih dibincangkan.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan berkata, perbincangan pembahagian kerusi BN-PH pada fasa akhir dengan hampir 70 peratus dimuktamadkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.

Artikel Berkaitan:

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 73 kerusi. - Bernama

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan jumlah kerusi ditandingi pada PRN Sabah ke-17 minggu depan
  • Pengumuman rasmi dibuat di Kota Kinabalu oleh Ahmad Zahid Hamidi
  • 80 peratus calon BN adalah muka baharu
  • Rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH 95 peratus selesai
  • PRN Sabah menetapkan 29 November sebagai hari pengundian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!