Ajak bincang, tapi kena belasah

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Perbincangan tiga saudara dengan seorang lelaki mengenai motosikal yang hilang bertukar menjadi pergaduhan dalam kejadian di Taman Angsamas, Mambau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun cedera di kepala dan muka akibat dibelasah dengan rotan dan parang.

Menurutnya, mangsa telah menemani sepupunya lelaki berusia 25 tahun dan 20 tahun ke lokasi berjumpa dengan seorang lelaki di tepi jalan di kawasan perumahan itu.

"Pertemuan itu untuk berbincang mengenai motosikal adik sepupunya yang hilang di Taman Kelab Tuanku, Mambau tiga hari lalu.

"Namun apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dapati suspek sedang menunggunya bersama sekumpulan lelaki," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, ketika perbincangan dibuat, mangsa telah dipukul dengan parang dan rotan, menyebabkan dia cedera.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk rawatan, manakala dua sepupunya tidak dicederakan.

"Susulan itu, sepupu mangsa telah buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban jam 9 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta hubungi talian 06-6033284 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban ditalian hotline 06-6014999," katanya.