Melancong sambil bawa 'barang', dapat upah hingga RM11,000 helah sindiket dadah

SEPANG – Tawaran kerja melalui TikTok yang menjanjikan pendapatan lumayan didakwa menjadi taktik sindiket dadah terbongkar, selepas empat individu ditahan ketika cuba menyeludup 86 kilogram bunga ganja bernilai RM8.3 juta, pada Isnin.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, keempat- empat suspek terdiri daripada dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an ditahan selepas bagasi mereka disyaki mengandungi dadah.
"Cubaan itu terbongkar apabila bagasi salah satu pasangan itu diimbas semula selepas mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi individu yang telah mendaftar masuk lebih awal," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.
Mohd Shuhaily berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menerima tawaran kerja menerusi TikTok dengan janji upah antara RM8,000 hingga RM11,000 untuk membawa barangan sambil melancong ke Manchester, United Kingdom.
"Kesemua suspek kini diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Mohd Shuhaily turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja dalam talian yang terlalu menggiurkan dan sentiasa berwaspada terhadap individu tidak dikenali, selain menegaskan usaha memperketat pemeriksaan di pintu masuk negara akan diteruskan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Ringkasan AI
- Tawaran kerja melalui TikTok menjadi taktik sindiket dadah dengan penangkapan empat individu yang cuba menyeludup 86 kilogram ganja
- Empat suspek terdiri daripada dua pasangan lelaki dan wanita berusia 20-an ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
- Penyeludupan terbongkar apabila bagasi diimbas semula setelah pasangan tersebut tidak dibenarkan menaiki pesawat
- Suspek mengaku menerima tawaran kerja dengan upah RM8,000 hingga RM11,000 untuk membawa barangan sambil melancong
- Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja dalam talian yang menggiurkan dan meningkatkan pemeriksaan untuk mengekang penyeludupan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
