Amanah Johor desak sidang khas DUN bincang krisis air

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa kerajaan negeri memanggil satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan secara menyeluruh krisis bekalan air susulan insiden pencemaran di Sungai Johor baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan terancang dalam menangani isu berulang yang memberi kesan besar kepada rakyat serta industri.
Katanya, pencemaran yang menjejaskan operasi loji rawatan air bukan sekadar masalah teknikal, sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam pengurusan sumber air negeri.
“Apabila sungai tercemar, rumah terputus bekalan dan industri terhenti operasi, yang terganggu bukan hanya aliran air tetapi juga tahap kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kita mengurus kemajuan," ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Johor kini sedang menuju era sebagai hab pusat data dan ekonomi digital serantau yang mana lebih 100 permohonan pusat data baharu serta penggunaan air dianggarkan melebihi 800 juta liter sehari iaitu hampir separuh daripada kapasiti air terawat negeri.
“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan harap tidak berlaku lagi. Tindakan mesti pantas, berasaskan data, dan disokong oleh sistem pemantauan serta tindak balas yang cekap,” katanya.
Fadhli Umar turut mencadangkan agar satu mobilisasi khas digerakkan secara berkala membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang risiko pencemaran.
“Krisis ini bukan sekadar ujian biasa, ia adalah ujian kepimpinan kerajaan negeri. Kerajaan mesti bertindak hari ini sebelum air yang menghidupkan negeri ini menjadi beban dan menenggelamkan harapan rakyat,” katanya.
Sebelum itu, media melaporkan bekalan air yang terjejas akibat pencemaran Sungai Johor melibatkan hampir 1.2 juta isi rumah di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian akan pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam pada Rabu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kawasan paling akhir yang akan menerima bekalan tersebut adalah Taman Impian Emas, Taman Bukit Impian dan Taman Anggerik Emas di Johor Bahru.
Ringkasan AI
- Amanah Johor menggesa kerajaan negeri adakan sidang khas DUN untuk bincang krisis bekalan air
- Pencemaran Sungai Johor menjejaskan operasi loji rawatan air dan mencerminkan kelemahan pengurusan sumber air
- Krisis air mengganggu bekalan ke rumah dan industri, merosakkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan kemajuan
- Johor menuju era hub data dan ekonomi digital, keperluan air tinggi sehingga hampir separuh kapasiti air terawat
- Cadangan mobilisasi khas melibatkan SPAN, BAKAJ dan JAS untuk tingkatkan kesiapsiagaan risiko pencemaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

