Bapa 3 anak dipenjara 20 tahun, 4 sebatan amang seksual anak saudara

SEREMBAN – Seorang bapa kepada tiga anak dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun, empat tahun lalu.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan pembelaan serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak pada tahap penilaian yang maksimum.
“Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan telah gagal membangkitkan satu keraguan munasabah terhadap pertuduhan pihak pendakwaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Matahari Indah, Senawang, antara 26 dan 27 Disember 2021 sekitar jam 5 pagi dan jam 12 tengah hari pada 28 Disember 2021.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan dan melepaskan tertuduh daripada satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Asmawi Ismail merayu agar mahkamah mengenakan hukuman penjara yang ringan kerana tertuduh merupakan pencari nafkah utama dalam keluarga dan perlu menyara seorang isteri serta tiga anak yang masih kecil.
Tambahnya, tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ini merupakan kesalahan pertama dilakukannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kes yang dilakukan terhadap kanak-kanak.
“Tertuduh sepatutnya melindungi mangsa tetapi mengambil peluang dan kesempatan terhadapnya.
“Mohon hukuman berat yang memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat secara umum serta mengambil kira prinsip kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh,” katanya.
Asmawi turut meminta mahkamah memberikan penangguhan pelaksanaan hukuman kerana pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Norazihah membantah permohonan tersebut dan bantahan itu dipersetujui oleh mahkamah.
Ringkasan AI
- Bapa tiga anak dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan empat sebatan kerana melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya
- Hakim membuat keputusan selepas meneliti keterangan kes secara maksimum
- Tertuduh melakukan kesalahan di Taman Matahari Indah Senawang pada Disember 2021
- Tertuduh didakwa di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017
- Tertuduh memohon hukuman ringan kerana menjadi pencari nafkah utama keluarga tetapi Timbalan Pendakwa Raya memohon hukuman berat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

