Berebut nuget ayam, wanita maut digigit anjing peliharaan

ESSEX - Seorang wanita di Britain maut selepas cuba meleraikan dua ekor anjing peliharaannya yang bergaduh kerana seketul nuget ayam, lapor BBC.
Mangsa, Michelle Hempstead, 34, meninggal dunia beberapa jam selepas digigit seekor anjing jenis campuran rottweiler–mastiff di kediamannya di Southend-on-Sea pada Julai 2024.
Ketika memberi keterangan, pasangan mangsa, Samuel West, memberitahu mahkamah bahawa Hempstead “terperangkap di tengah-tengah pergaduhan” selepas melemparkan nuget ayam McDonald’s untuk dikongsi dua anjing peliharaannya seekor pomeranian kecil dan seekor rottweiler–mastiff jantan bernama Trigg.
Bagaimanapun, ketika kedua-duanya melompat untuk menangkap makanan itu, Trigg secara tidak sengaja menggigit bahagian ketiak dan lengan kiri Hempstead, menyebabkan arteri serta urat utama terputus hingga mengakibatkan pendarahan teruk.
Mangsa rebah di luar flatnya di Retort Close dan disahkan meninggal dunia pada awal pagi 30 Julai 2024 akibat kegagalan pelbagai organ berpunca daripada kehilangan darah yang banyak.
Pihak polis memaklumkan bahawa Trigg kemudian disita dan dimusnahkan. Siasatan mendapati gigitan itu tidak bersifat ganas atau berniat menyerang, sebaliknya berlaku akibat tindak balas spontan.
West menyifatkan anjing itu sebagai “jinak dan penyayang”, malah berkata Hempstead sering memberi makanan kepadanya “terus dari mulutnya sendiri”.
Menurut Pegawai Penyiasat, Inspektor James McLean-Brown, pihak polis pernah menerima laporan berhubung dua ekor anjing jenis XL bully yang dikatakan pernah berada di kediaman berkenaan. Namun, tiada bukti menunjukkan anjing-anjing itu terlibat dalam kejadian tersebut.
West turut ditahan untuk siasatan tetapi dibebaskan tanpa pertuduhan selepas disahkan bahawa anjing terlibat bukan daripada baka terlarang.
Dalam surat yang dibacakan di mahkamah, ibu mangsa, Karen Hempstead, menggambarkan anaknya sebagai seorang yang “penyayang, tabah, berani dan sangat pemurah”.
Koroner kanan bagi Essex, Lincoln Brookes, menyifatkan kematian Hempstead sebagai “tragedi berganda” kerana ia berlaku hanya beberapa minggu selepas kematian anak perempuan sulungnya.
Dalam keputusannya pada 29 September 2025, Brookes merumuskan bahawa kematian itu berpunca daripada “perbuatan tidak disengajakan yang membawa akibat tragis” dan mengklasifikasikannya sebagai kematian tidak sengaja. – Agensi
Ringkasan AI
- Seorang wanita di Britain meninggal akibat digigit anjing campuran rottweiler-mastiff ketika cuba meleraikan pergaduhan dua anjingnya kerana seketul nuget ayam
- Kejadian berlaku di kediaman wanita tersebut di Southend-on-Sea, Essex, pada Julai 2024
- Pasangan mangsa mendakwa kejadian berlaku secara tidak sengaja semasa kedua anjing tersebut melompat untuk merebut nuget ayam yang dilemparkan
- Wanita tersebut meninggal awal pagi 30 Julai 2024 akibat kegagalan pelbagai organ berpunca dari kehilangan darah yang banyak
- Anjing yang terlibat dalam insiden ini kemudian disita dan dimusnahkan, dengan siasatan menunjukkan gigitan itu merupakan tindak balas spontan, bukan serangan ganas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

