Anwar junjung kasih doa dan keprihatinan Sultan Brunei

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah terhadapnya.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, baginda berkenan menghubunginya tengah hari tadi untuk bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraannya.
"Baginda dengan penuh takzim bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya. Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Tuanku,” katanya.
Anwar turut mendoakan agar Sultan Hassanal Bolkiah sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat ALLAH SWT.
Pada Ahad, Anwar dilaporkan terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang pada saat akhir atas nasihat pasukan perubatan setelah mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
- Sultan Hassanal telah menghubungi Anwar tengah hari tadi untuk menanyakan khabar dan mendoakan kesihatan
- Anwar memberikan balas doa kepada Sultan Hassanal agar sentiasa sihat dan dilindungi Allah SWT
- Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang baru-baru ini atas nasihat perubatan kerana sakit belakang
- Panggilan tersebut menunjukkan hubungan baik antara pemimpin kedua negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
