10 Perjanjian damai yang mengubah arah sejarah

No Image Caption
A
A
A

DALAM sejarah dunia moden, perjanjian damai menjadi simbol kemenangan diplomasi mengatasi konflik bersenjata, kebencian etnik dan pertikaian wilayah. Di sebalik peperangan dan ketegangan politik, usaha mencari perdamaian membuktikan bahawa keamanan boleh dicapai melalui meja rundingan, bukan kekerasan.

Sepanjang abad ke-20 hingga kini, pelbagai perjanjian penting telah dimeterai ada yang mengakhiri peperangan puluhan tahun, ada pula yang membuka lembaran baharu kerjasama antara musuh lama. Berikut merupakan 10 perjanjian damai yang berjaya dimeterai. - Foto: Agensi

1.Perjanjian Damai Kemboja –Thailand (2025)

Dimeterai di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025, perjanjian ini menamatkan ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand yang berlarutan di kawasan Kuil Preah Vihear. Ditandatangani oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand,Anutin Charnvirakul dengan Malaysia sebagai fasilitator serta disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, ia menekankan penarikan senjata berat, pembebasan tahanan, dan penubuhan pasukan pemantau ASEAN. Perjanjian ini dilihat sebagai kejayaan diplomasi serantau dan simbol perpaduan ASEAN dalam menangani konflik dalaman Asia Tenggara secara aman.

2.Perjanjian Damai Aceh (2005)

Perjanjian ini menamatkan konflik bersenjata lebih tiga dekad antara kerajaan Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Ditandatangani di Helsinki, Finland, ia membawa kepada autonomi khas untuk Aceh, perlucutan senjata oleh GAM, dan pemilihan semula pemimpin tempatan. Kejayaan ini membuka jalan kepada kestabilan di wilayah yang pernah porak-peranda akibat perang saudara dan tsunami 2004.

No Image Caption

3. Perjanjian Damai Colombia (2016)

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Colombia dan kumpulan pemberontak Revolutionary Armed Forces of Colombia (FARC) menamatkan konflik selama 52 tahun melalui perjanjian damai yang ditandatangani di Cartagena. FARC bersetuju meletakkan senjata dan bertukar menjadi parti politik. Walaupun proses perdamaian ini menghadapi cabaran pelaksanaan, ia dianggap antara transformasi politik paling besar di Amerika Latin.

No Image Caption

4. Perjanjian Damai Jumaat Agung, Ireland Utara (1998)

Ditandatangani di Belfast antara kerajaan United Kingdom, Ireland, dan kumpulan politik utama di Ireland Utara, perjanjian ini menamatkan konflik berdarah 'The Troubles' yang berlangsung lebih 30 tahun. Ia menubuhkan sistem pemerintahan bersama dan menjamin hak kedua-dua komuniti Katolik dan Protestan. Perjanjian ini kekal sebagai asas keamanan Ireland Utara hingga kini.

No Image Caption

5.Perjanjian Damai Komprehensif Sudan–Sudan Selatan (2005)

Perjanjian ini menamatkan perang saudara selama lebih dua dekad di Sudan antara kerajaan di Khartoum dan Sudan People’s Liberation Movement/Army (SPLM/A). Ia membuka jalan kepada kemerdekaan Sudan Selatan pada tahun 2011. Walaupun konflik dalaman masih berlaku, perjanjian ini dianggap titik perubahan besar dalam sejarah Afrika moden.

No Image Caption

6. Perjanjian Damai Dayton Bosnia (1995)

Ditandatangani di Dayton, Amerika Syarikat, perjanjian ini menamatkan Perang Bosnia yang tragik di Balkan. Ia memperakui sempadan Bosnia dan Herzegovina sebagai negara berdaulat yang terdiri daripada dua entiti iaitu Republika Srpska dan Persekutuan Bosnia-Croat. Hasilnya, ia menamatkan keganasan etnik dan menjadi asas sistem politik Bosnia hingga kini.

No Image Caption

7. Perjanjian Damai Ethiopia–Eritrea (2018)

Selepas dua dekad perang dan permusuhan, Ethiopia dan Eritrea bersetuju memulihkan hubungan diplomatik pada tahun 2018. Perjanjian ini dimeterai hasil inisiatif Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, yang kemudian menerima Hadiah Nobel Keamanan. Ia membuka sempadan dan menyatukan keluarga yang terpisah lama akibat perang.

No Image Caption

8. Perjanjian Camp David (1978)

Ditandatangani antara Mesir dan Israel dengan mediasi Presiden AS Jimmy Carter, perjanjian ini menamatkan permusuhan sejak Perang Yom Kippur. Ia membawa kepada pemulangan Semenanjung Sinai kepada Mesir dan hubungan diplomatik pertama antara Israel dan negara Arab, satu langkah penting ke arah keamanan Asia Barat.

No Image Caption

9. Perjanjian Damai Arusha, Rwanda (1993)

Perjanjian antara kerajaan Rwanda dan Front Patriotik Rwanda (RPF) bertujuan menamatkan perang saudara dan mengadakan perkongsian kuasa. Walaupun pelaksanaannya terganggu akibat tragedi genosid 1994, perjanjian ini tetap menjadi asas bagi pembentukan semula kerajaan pasca-konflik Rwanda.

No Image Caption

10. Perjanjian Israel–Palestin (1993)

Perjanjian bersejarah ini mempertemukan Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) buat pertama kali dalam rundingan rasmi. Ditandatangani di Washington DC, ia membawa kepada penubuhan Autoriti Palestin dan pengiktirafan dua hala antara kedua pihak. Walaupun masih belum membawa penyelesaian menyeluruh, ia tetap dianggap titik mula diplomasi moden di Asia Barat.

No Image Caption

Ringkasan AI

  • Dalam sejarah dunia moden, perjanjian damai menjadi simbol diplomasi mengatasi konflik bersenjata
  • Perjanjian Damai Kemboja-Thailand (2025) menamatkan ketegangan sempadan dan dilihat sebagai kejayaan diplomasi ASEAN
  • Perjanjian Damai Aceh (2005) menamatkan konflik bersenjata lebih tiga dekad, membawa kepada autonomi khas untuk Aceh
  • Perjanjian Damai Jumaat Agung, Ireland Utara (1998) mengakhiri konflik 'The Troubles', menubuhkan sistem pemerintahan bersama
  • Perjanjian Damai Ethiopia-Eritrea (2018) memulihkan hubungan diplomik setelah dua dekad perang, menyatukan keluarga yang terpisah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!