Agong tiba di Arab Saudi untuk lawatan negara 4 hari

Sultan Ibrahim memulakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi. Foto Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim memulakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi. Foto Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

RIYADH - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat tiba di sini pada Isnin untuk memulakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi bagi memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama demi kepentingan dan manfaat rakyat kedua-dua negara.

Kunjungan berkenaan ialah lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 1984.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada Isnin dan mendarat di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh pada jam 12.30 tengah hari (5.30 petang waktu Malaysia).

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam lawatan ini ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, pesawat berasingan yang membawa Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj mendarat di lapangan terbang sama kira-kira jam 11.30 pagi.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al Saud, Datuk Bandar Riyadh Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf dan Menteri Pelancongan Kerajaan Arab Saudi Ahmed Al Khateeb.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zain, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda kemudian melintasi barisan kawalan kehormatan sebelum berangkat ke hotel penginapan di Riyadh.

Di hotel berkenaan,Yang di-Pertuan Agong disambut oleh petugas Kedutaan Malaysia bersama keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Semasa berada di Riyadh, Sultan Ibrahim dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.

Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Arab Saudi juga rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).

Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.

Lawatan negara ini adalah yang kelima dilaksanakan oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei dan Rusia.

Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain pada 6 November atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke Arab Saudi untuk lawatan negara empat hari
  • Ini merupakan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak 1984
  • Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam
  • Arab Saudi adalah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dengan perdagangan bernilai RM44.74 bilion
  • Selepas Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain atas jemputan Raja Bahrain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!