Kereta terbabas di LPT2 bongkar cubaan seludup migran


HULU TERENGGANU – Cubaan enam lelaki warga Myanmar menyelinap masuk ke negeri ini gagal selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 388.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila sepasukan anggota polis dari Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan bantuan pegawai operasi lebuh raya Zon Timur 4 menahan sebuah kereta jenis Honda Civic.
Menurutnya, kenderaan berwarna merah itu didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum terbabas di lokasi berkenaan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati seorang lelaki warga Myanmar bertindak sebagai pemandu dan membawa lima penumpang.
"Kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diminta," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, kesemua enam individu tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, turut dirampas sebuah kereta Honda Civic dan telefon bimbit iPhone 12 Pro Max yang dipercayai digunakan bagi urusan penyeludupan berkenaan.
"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit mengaku menyewa kereta itu daripada seorang individu di Selangor pada 1 November lalu sebelum membawa lima warga Myanmar itu ke Terengganu.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2017 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana penyeludupan migran dan masuk ke Malaysia secara tidak sah," jelas beliau.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket penyeludupan migran serta individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang," ujarnya.
Pada Ahad tular video berdurasi 18 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan sebuah kenderaan terbabas dan sekumpulan individu sedang disiasat di lokasi kemalangan tersebut.
Ringkasan AI
- Enam lelaki warga Myanmar gagal menyelinap masuk ke Terengganu selepas kereta mereka terbabas di LPT2
- Kereta Honda Civic yang dipandu mencurigakan dinaiki oleh seorang pemandu warga Myanmar dan lima penumpang
- Semua penumpang berusia antara 22 hingga 35 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri
- Kenderaan dan telefon bimbit dirampas untuk siasatan berkaitan urusan penyeludupan
- Kes disiasat dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran serta Akta Imigresen kerana penyeludupan migran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
