Dua kanak-kanak cedera dilanggar kereta terbabas

JOHOR BAHRU – Dua kanak-kanak masing-masing berusia enam dan sembilan tahun cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas di Jalan Austin Heights 7/7, di sini pada malam Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam ketika kedua-dua mangsa sedang bermain di kaki lima sebuah restoran tempat bapa mereka berniaga.
“Secara tiba-tiba, sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kedua-dua kanak-kanak terbabit.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan di zon kuning," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Azrul Hisham berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis.
“Hasil ujian alkohol dan air kencing terhadap pemandu didapati negatif.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," ujarnya.
Polis turut meminta saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Khamisah Jalil di talian 019-7813178 bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, tular video dan beberapa gambar menunjukkan keadaan di lokasi kejadian dengan orang ramai berkumpul, selain terdapat kehadiran anggota polis.
Ringkasan AI
- Dua kanak-kanak berusia enam dan sembilan tahun cedera ringan selepas dilanggar kereta di Jalan Austin Heights
- Kereta yang terbabas dikendalikan oleh pemandu lelaki tempatan berusia 32 tahun
- Kejadian berlaku ketika kanak-kanak bermain di kaki lima restoran
- Pemandu kereta didapati negatif untuk ujian alkohol dan air kencing
- Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

