Persidangan dasar awam medan perkukuh sistem penyampaian kerajaan

KUALA LUMPUR – Keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan bergantung kepada keupayaan memperkukuh sistem penyampaian yang tersusun dan berkesan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, meskipun Malaysia memiliki pelbagai pelan serta dasar hebat yang dirangka dengan baik, cabaran utama masih tertumpu pada aspek pelaksanaannya.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibahim) baru-baru ini turut menyentuh perkara sama (iaitu) kita ada banyak pelan yang cantik dan hebat, tetapi masalah timbul apabila sampai kepada pelaksanaan.

"Malaysia tidak pernah ketandusan visi atau perancangan hebat, namun banyak dasar dan pelan tindakan akhirnya berhenti pada peringkat kelulusan tanpa memberi kesan nyata kepada rakyat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Polisi Awam di Universiti Malaya (UM) pada Isnin.
Dalam pada itu Zambry memaklumkan, persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin itu penting kerana menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, wakil agensi kerajaan serta pelajar bidang dasar awam bagi membincangkan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian dasar kerajaan.
Menurutnya, golongan terlibat akan berkongsi pengalaman dan merangka pendekatan baharu bagi memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Antara fokus utama perbincangan ialah mencari model pelaksanaan yang lebih efisien melalui penggunaan teknologi digital dan platform sedia ada.
"Sebagai contoh, penggunaan sistem seperti GovTech atau platform MyGovernment boleh dijadikan antara pendekatan untuk memperkukuh sistem penyampaian kerajaan agar lebih lancar dan menyeluruh,” ujarnya.
Mengulas peranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Zambry menjelaskan, universiti awam turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan sumber manusia dalam bidang dasar awam.
"Di UM misalnya, kita mempunyai program polisi awam yang melatih tenaga pakar dalam bidang ini.
"Melalui program sebegini, kita dapat mencerakinkan pelbagai isu berkaitan dasar supaya kerajaan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya.
Ringkasan AI
- Keberkesanan dasar kerajaan bergantung kepada sistem penyampaian yang berkesan
- Malaysia memiliki pelbagai dasar hebat namun cabaran terletak pada pelaksanaannya
- Persidangan Antarabangsa Polisi Awam menghimpunkan pelbagai pihak untuk membincangkan penambahbaikan sistem penyampaian dasar
- Penggunaan teknologi digital seperti GovTech dan MyGovernment boleh memperkukuh sistem penyampaian
- Universiti awam memainkan peranan dalam memperkukuh sumber manusia bidang dasar awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

