PHB sasar lebih 1,000 pelajar terima manfaat 35 perabot baharu

Mohamad Damshal (berdiri, lapan dari kanan) bergambar bersama warga kerja PHB dan EPIC Homes dalam program ‘The Good Builder’ di PARC, Taman Subang Ria pada Ahad.
Mohamad Damshal (berdiri, lapan dari kanan) bergambar bersama warga kerja PHB dan EPIC Homes dalam program ‘The Good Builder’ di PARC, Taman Subang Ria pada Ahad.
A
A
A

SUBANG - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menyasarkan lebih 1,000 pelajar bakal menerima manfaat menerusi penyediaan perabot baharu melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu yang berlangsung pada Ahad.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama EPIC Homes sebagai sebahagian daripada usaha syarikat dalam menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3, Subang Perdana, Selangor.

“Menariknya, kira-kira 30 kakitangan PHB sendiri terlibat sebagai sukarelawan dalam program ini. Mereka bergotong-royong membina sebanyak 35 unit perabot sekolah seperti kerusi, meja dan rak penyimpanan yang akan disumbangkan kepada SK Jalan U3, Subang Perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran program ‘The Good Builder’ di Project A Reka Cipta (PARC), Taman Subang Ria pada Ahad.

Hadir sama, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Homes, John-Son Oei.

Menerusi inisiatif tersebut, peserta menyertai bengkel selama dua hari bermula Sabtu dengan memberi tumpuan kepada aktiviti membina perabot bilik darjah untuk sekolah berkenaan.

Mohamad Damshal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PHB berkata, program bertemakan ‘Together We Build, Together We Give’ itu bukan sahaja memberi peluang kepada warga kerja PHB untuk menyumbang tenaga dan kemahiran mereka, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam membantu masyarakat.

Menurut beliau, tumpuan PHB terhadap bidang pendidikan adalah sejajar dengan fokus CSR syarikat yang turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu pendidikan berkualiti.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk pelapis masa depan dan memperkukuh komuniti.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini memperlihatkan nilai kesukarelawan serta kepentingan mewujudkan persekitaran yang menyokong pembelajaran, pertumbuhan dan pembangunan insan.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada program yang memberi peluang kepada warga kerja untuk menyumbang secara praktikal dan memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Kata beliau, bidang pendidikan bukan inisiatif baharu bagi PHB kerana syarikat itu turut melaksanakan pelbagai program komuniti lain termasuk Program Kampung Angkat Madani serta Buku Jalanan Chow Kit.

“Sebagai sebuah syarikat pelaburan hartanah, kami mempunyai pasukan teknikal yang berkemahiran dalam kerja-kerja pembaikan.

“Contohnya, di sebuah sekolah di Chow Kit, kami telah membantu membaiki kebocoran bumbung dengan menjalankan kerja ‘waterproofing’,” jelasnya.

Mohamad Damshal turut berharap agar inisiatif ‘The Good Builder’ dapat memberi manfaat berpanjangan kepada pelajar dan sekolah serta menyemai semangat prihatin dalam kalangan warga PHB untuk terus memberi kembali kepada masyarakat.

Ringkasan AI

  • Pelaburan Hartanah Berhad menargetkan lebih 1,000 pelajar akan mendapat manfaat dari penyediaan perabot baru melalui program CSR
  • Inisiatif ini dijalankan bersama EPIC Homes untuk mendukung persekitaran pembelajaran yang kondusif di SK Jalan U3, Subang Perdana, Selangor
  • Kira-kira 30 kakitangan PHB terlibat sebagai sukarelawan membina 35 unit perabot untuk disumbangkan kepada sekolah tersebut
  • Program ini bertemakan 'Together We Build, Together We Give', mendorong partisipasi sukarelawan dan semangat kebersamaan dalam membantu masyarakat
  • Fokus PHB terhadap pendidikan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB keempat, iaitu pendidikan berkualiti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!