Kor Ming pertahan tindakan tegur wartawan

Kor Ming.
Kor Ming.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempertahankan tindakannya yang menegur seorang wartawan ketika pelancaran projek 'I Lite U' sempena Tahun Melawat malaysia 2026, Rabu lalu.

Memetik laporan Oriental Daily News, Kor Ming menegaskan bahawa interaksi antara wartawan dan individu yang ditemu bual haruslah bersifat dua hala yang mana kedua-dua pihak mempunyai hak masing-masing.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berpendapat bahawa teguran itu adalah amalan yang adil dan reaksi berlebihan akan timbul jika seseorang tidak boleh menerima sedikit pembetulan.

Tambahnya, sesi sidang media yang dikendalikannya serta ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur turut dijalankan dalam bahasa Melayu meskipun melibatkan kehadiran wakil media asing.

“Bagaimanapun, masih ada seorang wartawan yang sengaja bertanya mengapa slogan kempen itu tidak dalam bahasa Melayu,” katanya dengan mendakwa ia menunjukkan bahawa wartawan terbabit cuba memalukan negara di hadapan media asing.

Kor Ming berkata demikian bagi menjawab kritikan pelbagai pihak yang tidak setuju dengan tindakan beliau memberikan reaksi selepas ditanya mengenai slogan kempen projek itu.

Sebelum ini Kor Ming ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara dikatakan berang dengan soalan daripada wartawan Utusan Malaysia yang bertanyakan mengapa tema projek tersebut dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Susulan kejadian itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Semenanjung Malaysia dan Gerakan media Merdeka (Geramm) mengeluarkan kenyataan yang menyatakan tindakan itu seperti mengugut dan menekan kebebasan media.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempertahankan tegurannya kepada wartawan ketika pelancaran projek 'I Lite U'
  • Kor Ming menekankan interaksi dua hala antara wartawan dan individu yang ditemu bual
  • Beliau berpendapat teguran adil dan reaksi berlebihan timbul bila tidak dapat terima pembetulan
  • Sidang media dan ucapan dijalankan dalam bahasa Melayu walaupun ada wakil media asing
  • Tindakannya memberi reaksi kepada wartawan yang soal slogan dalam bahasa Inggeris dikritik berbagai pihak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!