JBPM laksana semakan besar-besaran hadapi Monsun Timur Laut

TUMPAT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan semakan menyeluruh tahap kesiapsiagaan logistik dan operasi secara besar-besaran di seluruh negara pada Sabtu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada bila-bila masa dari sekarang.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi berkata, semakan nasional itu melibatkan 343 balai bomba termasuk akademi dan pusat latihan di seluruh Malaysia di bawah program khas MTL bagi memastikan setiap aset dan kelengkapan operasi berada dalam keadaan sempurna serta mencukupi sebelum musim tengkujuh bermula.
“Semua pegawai kanan bomba turun padang hari ini bagi melakukan pemeriksaan serentak.
“Pemeriksaan merangkumi 983 aset utama bagi operasi banjir termasuk 403 bot penyelamat yang ketika ini keseluruhannya berada pada tahap 95 peratus kesediaan untuk digunakan,” katanya semasa lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Kelantan dijadikan sebagai penanda aras bagi pelaksanaan persediaan MTL kerana sering berdepan risiko banjir besar.
Sementara dari sudut masa tindak balas, Nordin berkata, JBPM masih mengekalkan standard kurang daripada 10 minit meskipun tempoh itu ditetapkan untuk kes kemalangan atau kebakaran, boleh juga diguna pakai bagi misi menyelamat ketika banjir.
"Kami guna standard masa kurang daripada 10 minit tapi perlu faham ketika banjir banyak laluan terputus.
“Ada kekangan untuk bomba sampai lebih awal atau keperluan untuk menggunakan pengangkutan lain contohnya bot atau lori yang sudah tentu kelajuannya berbeza,” katanya.

Ujar beliau, selain tiga helikopter, sebagai tambahan kepada kekuatan operasi, JBPM turut memperkenalkan inisiatif 150 bot komuniti termasuk 11 unit yang diserahkan kepada Kelantan bagi membolehkan komuniti terlatih menjadi penyelamat awal di kawasan masing-masing sebelum pasukan bomba tiba.
“Komuniti ini terdiri daripada ahli Bomba Komuniti dan Pasukan Bomba Sukarela yang dilatih dan dipantau oleh JBPM.
“Mereka mengenali kawasan, tahu penduduk berisiko seperti warga emas, orang kurang upaya dan ibu mengandung supaya boleh bertindak segera ketika air naik,” katanya.
Ringkasan AI
- JBPM melaksanakan semakan logistik dan operasi besar-besaran sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut
- Semakan nasional melibatkan 343 balai bomba di seluruh Malaysia untuk memastikan kesiapsiagaan aset
- Pemeriksaan merangkumi 983 aset utama termasuk 403 bot penyelamat dengan kesediaan 95 peratus
- Kelantan dijadikan penanda aras persediaan MTL kerana risiko banjir besar
- JBPM memperkenalkan 150 bot komuniti termasuk 11 unit di Kelantan untuk bantuan awal sebelum pasukan bomba tiba
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

