Kapal selam autonomi buatan Indonesia jalani ujian tembakan torpedo

Indonesia menjalankan ujian tembakan torpedo kapal selam autonomi pertamanya, dikenali sebagai Kapal Selam Otonom. Foto Kementerian Pertahanan Indonesia.
Indonesia menjalankan ujian tembakan torpedo kapal selam autonomi pertamanya, dikenali sebagai Kapal Selam Otonom. Foto Kementerian Pertahanan Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - Indonesia dilaporkan telah menjalankan ujian tembakan torpedo kapal selam autonomi pertamanya, dikenali sebagai Kapal Selam Otonom (KSOT), pada Khamis, sekali gus menandakan satu tonggak penting dalam pembangunan teknologi pertahanan laut negara itu.

Ujian yang diadakan di Markas Pemerintah Armada II, Surabaya, Jawa Timur, disaksikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, dan turut dipantau secara dalam talian oleh Presiden Prabowo Subianto dari Jakarta, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Indonesia.

KSOT, yang dibangunkan syarikat pembinaan kapal milik kerajaan, PT PAL Indonesia, direka untuk menyediakan penyelesaian yang pantas, efisien dan berkesan dalam memperkukuh keupayaan tempur maritim, selain menjadi pelengkap kepada armada kapal selam konvensional sedia ada.

"Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) dan PT PAL Indonesia akan terus melaksanakan penilaian bagi menambah baik prestasinya agar dapat memberikan manfaat yang lebih besar,” kata Sjafrie.

Beliau berkata, Indonesia kini menjadi negara keempat selepas Amerika Syarikat, Rusia dan China yang berjaya membangunkan kapal selam autonomi, hasil reka bentuk sepenuhnya oleh anak tempatan.

Prototaip KSOT diperkenalkan kepada umum semasa sambutan Hari Ulang Tahun TNI ke-80 di Jakarta Pusat pada 5 Oktober lepas. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Indonesia telah menjalankan ujian tembakan torpedo kapal selam autonomi pertamanya, dikenali sebagai Kapal Selam Otonom
  • Ujian disaksikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia dan dipantau oleh Presiden dari Jakarta
  • Kapal Selam Otonom dibangunkan oleh syarikat pembinaan kapal milik kerajaan, PT PAL Indonesia
  • Indonesia kini menjadi negara keempat yang membangunkan kapal selam autonomi
  • Prototaip KSOT diperkenalkan semasa sambutan Hari Ulang Tahun TNI ke-80

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!