Rakyat diminta sabar, patuh peraturan pemeriksaan di sempadan – Mohd Shuhaily

KOTA BELUD - Rakyat Malaysia diminta supaya bersabar dan mematuhi setiap peraturan keselamatan di pintu masuk negara meskipun terpaksa menunggu lebih lama ketika pemeriksaan sempadan dilakukan.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan, proses pemeriksaan yang ketat adalah pengorbanan kecil namun penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
"APKS baru 12 bulan ditubuhkan dan sedang masih berjuang untuk berdiri. Kita akan bangun, jatuh dalam konteks berjalan, belum berlari lagi. Jadi saya harap rakyat akan bersama-sama dengan AKPS membina sempadan yang boleh kita banggakan.
"Dalam ingin kita berbangga dan mendaulatkan sempadan ini, ada pengorbanan yang saya perlu daripada rakyat Malaysia iaitu kesabaran, sebab apabila kita nak masuk ke dalam negara sudah tentu akan ada sedikit masa yang perlu diluangkan untuk proses pemeriksaan supaya orang boleh hormat bahawa di Malaysia nak masuk memang ada proses pemeriksaan.
"Kalau orang kita sendiri tidak boleh menghormati proses pemeriksaan itu, bagaimana kita mahu mewajibkannya kepada warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Benteng Persada: Dari Sempadan ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad di sini, pada Jumaat.
Dalam melaksanakan penguatkuasaan tersebut, beliau turut menegur sikap segelintir rakyat yang mudah mempertikaikan peraturan negara sendiri tetapi lantang apabila warga asing melanggarnya.
"Macam naik kereta, naik motosikal pun kita tidak menghormati undang-undang. Tetapi apabila warga asing yang buat, kita pula yang marah. Sama juga di sempadan, saya tahu ada antara mereka menempuh penerbangan yang jauh untuk pulang tetapi peraturan tetap peraturan, wajib dipatuhi.
"Saya ada rakan-rakan yang berkedudukan tinggi yang menghubungi saya dan membuat aduan, kenapa barisan panjang, kenapa sekarang jadi begini? Dulu AKPS tiada, sekarang AKPS ada. Jadi kena hormat, bila awak telefon saya untuk mengadu, itu sebenarnya menunjukkan awak tidak menghormati saya," katanya.
Jelasnya lagi, AKPS kini dalam fasa pertama dan akan memasuki fasa kedua selepas perincian bersama pelbagai agensi teras kerajaan selesai.
“Untuk makluman, kita telah pun diarahkan oleh Ketua Setiausaha Negara untuk menyiapkan segala bentuk pelan strategik dalam usaha mempercepatkan lagi dan memperkemaskan lagi penubuhan AKPS ini.
"Jadi, Insya-ALLAH minggu kedua bulan November itu nanti mesyuarat yang melibatkan semua agensi dalam AKPS itu akan memperhalusikan lagi kaedah kerja, kekuatan sumber manusia, aset dan sebagainya untuk fasa kedua," ujarnya.
Ringkasan AI
- Rakyat Malaysia diminta bersabar dan patuh kepada peraturan keselamatan di pintu masuk negara
- Proses pemeriksaan yang ketat di sempadan penting untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara
- APKS masih baru dan sedang dalam proses pembangunan untuk meningkatkan pengawasan sempadan
- Ketua Pengarah AKPS menegur sikap rakyat yang mempertikaikan peraturan tapi lantang terhadap warga asing yang melanggar peraturan
- AKPS berada dalam fasa pertama dan bersiap sedia ke fasa kedua dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
