GXBank terus prihatin, 10 pelajar cemerlang terima Biasiswa Impian Gigih 2025

Barisan pengurusan GXBank meraikan 10 penerima Impian Gigih Biasiswa dan keluarga masing-masing di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Barisan pengurusan GXBank meraikan 10 penerima Impian Gigih Biasiswa dan keluarga masing-masing di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup dan pembiayaan pengajian tinggi, GXBank terus komited membantu pelajar apabila mengumumkan kumpulan kedua penerima Impian Gigih Biasiswa bagi tahun 2025.

Inisiatif di bawah bank digital pertama Malaysia itu bertujuan untuk menyokong pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah agar dapat meneruskan pengajian dan mencapai cita-cita akademik masing-masing.

Seramai 10 pelajar cemerlang dari institut pendidikan tinggi awam tempatan terpilih menerima biasiswa itu dan majlis penyampaian diadakan dalam suasana mesra bersama ahli keluarga mereka di First Avenue, Bandar Utama di sini, Sabtu lalu.

Kaushik Chowdhury (berdiri, tengah), Hildah dan Zaiton (duduk, tengah) bersama 10 pelajar yang juga kumpulan kedua yang menerima inisiatif GXBank, Impian Gigih Biasiswa.
Kaushik Chowdhury (berdiri, tengah), Hildah dan Zaiton (duduk, tengah) bersama 10 pelajar yang juga kumpulan kedua yang menerima inisiatif GXBank, Impian Gigih Biasiswa.

Hadir sama, Pengerusi GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kaushik Chowdhury dan barisan pengurusan kanan bank tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi (COO) GXBank, Hildah Hamzah berkata, komitmen bank tidak hanya tertumpu pada pembangunan ekonomi tetapi turut meliputi usaha memperkasa generasi muda menerusi pendidikan.

Tambah beliau, pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan yang mana ia membuka peluang kepada keluarga untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan mencapai mobiliti sosial antara generasi.

"Di GXBank, kami melihat bakat yang ada pada setiap lapisan masyarakat namun, tidak semua mempunyai akses dan sokongan pendidikan yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Impian Gigih Biasiswa diwujudkan untuk membantu pelajar berpotensi tinggi ini dengan memberi sumber dan keyakinan bagi mereka mengejar impian.

"Kami berbangga kerana dapat memberi kesan positif kepada kehidupan pelajar serta keluarga mereka,” ucapnya.

Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Utara Malaysia (UUM), Deevina Lee, 19, biasiswa yang diterimanya itu menjadi pemangkin kepada pembinaan kerjaya akan datang.

"Membesar bersama sembilan adik-beradik dengan pelbagai cabaran di Sabah, saya percaya bahawa pendidikan adalah satu-satunya laluan untuk saya mencipta perubahan, bukan untuk diri sendiri tetapi juga insan yang saya sayangi.

"Dengan biasiswa ini, saya ingin memanfaatkan ilmu yang bakal saya pelajari untuk membina kerjaya sekali gus berbakti kepada masyarakat di kampung halaman," katanya.

Nur Amira Adani (kiri) bersama Santhrani, Deevina dan Sengzi gembira terpilih menerima Impian Gigih Biasiswa yang diasaskan GXBank.
Nur Amira Adani (kiri) bersama Santhrani, Deevina dan Sengzi gembira terpilih menerima Impian Gigih Biasiswa yang diasaskan GXBank.

Penerima biasiswa, Mah Sengzi, 19, berkata, biasiswa yang diterimanya itu dapat membantunya meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM).

"Ibu saya memberi banyak semangat tekad dan ketabahan dalam diri saya, dengan cara yang sama, saya ingin memupuk nilai-nilai itu dalam diri orang lain agar mereka juga dapat mencapai potensi sebenar mereka.

"Kerjaya dalam bidang undang-undang bukan sahaja memberi peluang untuk membantu membina sistem keadilan yang dapat diakses oleh semua, tetapi juga menjadi wadah untuk berkhidmat kepada mereka yang memerlukan," kata pemuda berasal Pulau Pinang itu.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik, R Santhrani, 18, terharu dipilih GXBank dan biasiswa itu akan digunakan sebaiknya dalam mengejar impian menjadi seorang pendidik seperti mendiang ayahnya.

"Saya kehilangan ayah ketika berusia 13 tahun dan ibu berusaha keras dalam membesarkan saya dan kakak yang kini turut melanjutkan pengajian.

"Dengan biasiswa ini, ia dapat meringankan beban kewangan yang mana selepas ini saya tidak perlu berasa bimbang dan membantu saya terus fokus belajar untuk menjadi seorang pendidik," katanya yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan di UM, Nur Amira Adani Azizol berkata, biasiswa yang diterimanya itu memberi peluang untuknya mengejar impian menjadi seorang Penganalisis Kewangan.

"Berasal daripada keluarga yang mengusahakan perniagaan kecil, saya telah melihat sendiri bagaimana ilmu kewangan mampu mengubah kehidupan.

“Saya tidak menganggap biasiswa ini sekadar bantuan kewangan, tetapi satu peluang untuk kami berkembang dengan tunjuk ajar daripada mentor.

"Saya benar-benar berharap agar suatu hari nanti saya dapat menyumbangkan semula segala kemahiran yang dipelajari kepada masyarakat dan juga negara," katanya.

Impian Gigih ialah inisiatif utama GXBank yang memupuk mobiliti sosial melalui pendidikan dan celik kewangan.

Program itu dilaksanakan menerusi tiga teras utama iaitu Impian Gigih Dermasiswa yang menyediakan bantuan persekolahan untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, Impian Gigih Biasiswa dan Impian Gigih Celik Kewangan bertujuan memperkasakan rakyat dengan ilmu kewangan.

 

 

Ringkasan AI

  • GXBank melancarkan kumpulan kedua penerima Impian Gigih Biasiswa untuk membantu pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah tahun 2025
  • Seramai 10 pelajar dari institut pendidikan tinggi awam tempatan terpilih menerima biasiswa tersebut dalam sebuah majlis di Bandar Utama
  • Inisiatif ini bertujuan untuk mendukung pelajar mencapai cita-cita akademik dan keluar dari kitaran kemiskinan
  • Penerima biasiswa termasuk pelajar dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, Undang-Undang, Pendidikan Matematik, dan Kewangan
  • Impian Gigih ialah inisiatif utama GXBank yang menekankan pada mobiliti sosial melalui pendidikan dan celik kewangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!