AS beri pertimbangan khusus kepada rundingan tarif semikonduktor - Chin Tong

KUALA LUMPUR - Sektor semikonduktor negara akan diberikan pertimbangan khusus oleh Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan tarif di bawah Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, tarif berkaitan semikonduktor merupakan tarif sektoral yang tidak termasuk di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai Malaysia-AS baru-baru ini.
"Dalam perjanjian ART tidak termasuk isu tarif sektoral...semikonduktor termasuk dalam seksyen 232 yang akan dipertimbangkan oleh Setiausaha Perdagangan AS.
"Apa yg telah dirundingkan adalah dengan Wakil Perdagangan AS (USTR)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) berhubung impak perjanjian perdagangan itu terhadap sektor semikonduktor.
Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung isu halal susulan Perjanjian ART Malaysia,AS, Chin Tong berkata, proses kelulusan pengimportan produk halal dari AS adalah kekal seperti sedia ada di bawah perjanjian itu.
Katanya, ia perlu mematuhi keperluan standard halal Malaysia dan Akta Perihal Dagangan (Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011) bagi tujuan perdagangan dalam Malaysia.
"Peraturan tersebut menetapkan hanya produk halal yang mendapat pengesahan halal dari badan pensijilan halal AS yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan memenuhi keperluan halal Malaysia sahaja akan diperakukan dan dibenarkan bagi tujuan eksport ke Malaysia," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Sektor semikonduktor negara akan diberikan pertimbangan khusus oleh Amerika Syarikat dalam rundingan tarif
- Tarif berkaitan semikonduktor tidak termasuk dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang dimeterai Malaysia-AS
- Isu tarif sektoral semikonduktor akan dipertimbangkan oleh Setiausaha Perdagangan AS
- Peraturan kelulusan pengimportan produk halal dari AS kekal seperti sedia ada
- Hanya produk halal yang mendapat pengesahan dari badan pensijilan halal AS yang diiktiraf oleh JAKIM akan dibenarkan untuk eksport ke Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
