26.5 juta carian dilakukan di portal Semak Mule sejak 2020

KUALA LUMPUR - Portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 26.5 juta carian sejak diperkenalkan pada Oktober 2020 hingga 26 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, daripada jumlah itu, sebanyak 2.7 juta carian dikesan positif iaitu melibatkan maklumat yang pernah digunakan dalam kes penipuan.
“Daripada carian positif tersebut, 2.2 juta membabitkan nombor akaun bank, nombor telefon (520,371) dan nama syarikat (5,221),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK Menara KPJ di sini pada Khamis.
Rusdi berkata, pangkalan data portal Semak Mule kini mengandungi 299,531 akaun bank, nombor telefon (233,568) dan nama syarikat (7,867) yang telah dilaporkan kepada polis kerana disyaki digunakan oleh sindiket penipuan.
"Portal Semak Mule diwujudkan bagi membantu masyarakat menyemak terlebih dahulu maklumat akaun atau nombor telefon sebelum membuat sebarang transaksi kewangan, sekali gus mencegah mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
“Melalui platform ini, masyarakat kini mempunyai saluran pantas untuk menilai sama ada sesuatu akaun atau nombor telefon pernah digunakan dalam kes jenayah komersial,” ujarnya.
Rusdi berkata, selain membantu pengguna individu, portal berkenaan turut berperanan menyediakan pangkalan data penipuan yang komprehensif untuk rujukan pihak berkuasa dalam siasatan kes jenayah komersial.
"Portal Semak Mule turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila digunakan oleh polis Singapura, Brunei, Filipina dan Indonesia sebagai rujukan silang bagi siasatan jenayah rentas sempadan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia menerima lebih 26.5 juta carian sejak Oktober 2020
- Sebanyak 2.7 juta carian positif iaitu melibatkan maklumat yang pernah digunakan dalam kes penipuan
- Pangkalan data portal Semak Mule mengandungi 299,531 akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat dilaporkan disyaki digunakan sindiket penipuan
- Portal ini membantu masyarakat menyemak maklumat sebelum transaksi kewangan untuk mencegah penipuan
- Portal Semak Mule digunakan sebagai rujukan silang siasatan jenayah rentas sempadan oleh polis Singapura, Brunei, Filipina dan Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
