JK Parlimen mahu sesi pendengaran Perjanjian Dagang Malaysia–AS

Chen (tengah) ketika sidang akbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa.
Chen (tengah) ketika sidang akbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Satu sesi pendengaran perlu diadakan bagi meneliti secara menyeluruh Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang dimeterai pada Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen berkata, sesi berkenaan bertujuan memberi ruang kepada kerajaan untuk memberikan penjelasan, khususnya berkaitan komitmen negara terhadap perjanjian perdagangan pelbagai hala.

“Selain itu, ia turut membabitkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan kerjasama ekonomi dengan negara-negara yang tidak sehaluan dengan dasar Amerika Syarikat, termasuk anggota BRICS seperti Brazil, China, Rusia dan India.

“Kami berhasrat untuk menjemput Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kedutaan AS di Malaysia, pakar ekonomi dan wakil dewan perdagangan bagi memberikan pandangan dan menjawab pertanyaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, pada Selasa.

Sebelum ini, Malaysia dan AS telah menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balas yang membolehkan Malaysia memperoleh akses pasaran yang lebih luas berbanding perjanjian terdahulu.

Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran istimewa kepada eksport barangan industri dari AS seperti bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang.

Wong Chen berkata, meskipun Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengundi terhadap perjanjian itu, namun ia tetap memikul tanggungjawab untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab atas keputusan dasar yang dibuat.

“Kami sekali lagi ingin menegaskan kepentingan memperkasa profesionalisme JKPK Parlimen agar ia benar-benar bebas dan tidak bersifat partisan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, sokongan institusi dan sumber yang mencukupi amat diperlukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Satu sesi pendengaran perlu diadakan untuk meneliti Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara AS dan Malaysia
  • Tujuan sesi adalah untuk kerajaan memberikan penjelasan tentang komitmen negara dalam perjanjian perdagangan
  • Perjanjian tersebut juga membabitkan kerjasama dengan negara-negara yang tidak sehaluan dengan dasar Amerika termasuk anggota BRICS
  • Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kedutaan AS, pakar ekonomi dan wakil dewan perdagangan dijemput untuk memberi pandangan
  • Perjanjian perdagangan tersebut membolehkan Malaysia mendapatkan akses pasaran lebih luas dari AS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!