223 pangkalan haram di Sungai Golok diroboh secara berperingkat

RANTAU PANJANG - Aktiviti perobohan kesemua 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Jeli dimulakan pada Selasa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perobohan tersebut dijangka mengambil masa dua bulan dan akan dilakukan secara berperingkat.
"Hari ini adalah hari sebenar di mana projek rintis yang dijanjikan selama ini dilaksanakan.
"Kita mulakan dengan perobohan pangkalan haram Gergaji dan MCA," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu, beliau turun padang meninjau kerja-kerja perobohan di Pangkalan Haram Gergaji di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Nik Raisnan Daud.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan 223 pangkalan haram itu, 216 binaan berada di atas tanah kerajaan manakala tujuh lagi di atas tanah persendirian.
Beliau berharap agar penduduk di kawasan sempadan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Mohd Yusoff memberitahu, tindakan ini merupakan usaha kerajaan dalam membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.
"Saya telah bercakap hampir setahun mengenai perkara ini, dan masyarakat kini sudah memahami bahawa tujuan sebenar kerajaan merobohkan pangkalan haram adalah untuk menangani jenayah rentas sempadan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau percaya pihak berkuasa di Thailand sudah mengetahui mengenai pelaksanaan kerja-kerja merobohkan pangkalan haram tersebut.
Ringkasan AI
- Aktiviti perobohan 223 pangkalan haram di Sungai Golok dimulakan dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga ke Jeli
- Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perobohan dijangka mengambil masa dua bulan
- 216 pangkalan haram berada di atas tanah kerajaan manakala tujuh lagi di atas tanah persendirian
- Operasi ini bertujuan untuk membendung aktiviti jenayah rentas sempadan
- Pihak berkuasa di Thailand sudah mengetahui mengenai pelaksanaan kerja-kerja merobohkan pangkalan haram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

