ACFTA 3.0 buka peluang dagang lebih luas antara ASEAN dan China

KUALA LUMPUR – Negara anggota ASEAN dan China bakal menikmati manfaat besar hasil penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN-China.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjanjian versi baharu itu membuka ruang penyelarasan perdagangan dan pelaburan yang lebih luas antara ASEAN dan China yang kini merupakan rakan dagang terbesar rantau ini.
“Ini satu perkara yang amat baik bagi negara-negara ASEAN untuk menyelaras perdagangan antara sesama ASEAN dan juga dengan China,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang berkenaan pada Selasa.
ACFTA 3.0 ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala China diwakili Menteri Perdagangannya, Wang Wentao.
Majlis tandatangan itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Mohamad menjelaskan, antara tumpuan utama perjanjian itu ialah usaha menurunkan pelbagai halangan perdagangan yang masih wujud bagi memastikan urus niaga dua hala lebih lancar dan mesra pasaran.
“Kita melihat bagaimana mahu menurunkan apa-apa jua halangan perdagangan di antara ASEAN dengan China supaya tidak berlaku pertindihan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai butiran penambahbaikan itu dan memaklumkan Perdana Menteri akan memberikan penerangan lanjut dalam sidang media khas selepas sidang kemuncak berkenaan petang ini.
“Biar Perdana Menteri yang umumkan nanti. Saya tidak mahu mendahului beliau,” katanya.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN-China, ASEAN turut dijadual mengadakan sidang kemuncak dengan Australia dan New Zealand bagi membincangkan pelbagai bentuk kerjasama serantau termasuk langkah memudah cara perdagangan dan pelaburan masa hadapan.
Ringkasan AI
- Negara anggota ASEAN dan China bakal menikmati manfaat besar dari penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0)
- Perjanjian baru membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih luas antara ASEAN dan China
- ACFTA 3.0 bertujuan menurunkan pelbagai halangan perdagangan untuk transaksi yang lebih lancar
- Perjanjian ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia dan Menteri Perdagangan China
- Sidang Kemuncak ASEAN-China juga menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Malaysia dan China
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

