Piala ASEAN FIFA simbol kebangkitan bola sepak Asia Tenggara

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pengumuman penganjuran kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA sebagai satu langkah bersejarah yang bakal membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak serantau.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya amat berbesar hati dan menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino berhubung penganjuran kejohanan berprestij itu.
Menurutnya, pengumuman yang dibuat sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia itu amat signifikan bukan sahaja kepada bola sepak rantau ASEAN tetapi juga kepada Malaysia sendiri yang menjadi tuan rumah sidang berkenaan.
“Ia membawa makna simbolik yang besar terhadap peranan dan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama serantau melalui sukan bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Yusoff menegaskan bahawa penganjuran Piala ASEAN FIFA akan menjadi platform penting dalam mempertingkat tahap persaingan pasukan-pasukan ASEAN di samping memperkukuh hubungan antara negara serantau dalam semangat kesukanan dan persahabatan.
“Kejohanan ini akan membantu mempertingkat mutu pertandingan kerana ia berlangsung dalam kalendar rasmi FIFA,” jelasnya.
Beliau turut yakin bahawa dengan sokongan semua negara anggota ASEAN serta kepimpinan FIFA, kejohanan tersebut bakal menjadi simbol kebangkitan bola sepak ASEAN di pentas dunia.
Namun begitu, jelas Mohd Yusoff, penganjuran kejohanan itu masih di peringkat awal perbincangan dan memerlukan penelitian lanjut sebelum direalisasikan sepenuhnya.
Ringkasan AI
- FAM menyambut baik pengumuman Piala ASEAN FIFA sebagai langkah bersejarah bagi bola sepak serantau
- Pengumuman itu dibuat sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia, menandakan penglibatan dan komitmen Malaysia dalam sukan bola sepak
- Piala ASEAN FIFA bertujuan meningkatkan persaingan dan memperkukuh hubungan antara negara-negara ASEAN
- Kejohanan ini akan berlangsung dalam kalendar rasmi FIFA, membantu mempertingkat mutu pertandingan
- Penganjuran Piala ASEAN FIFA masih di peringkat awal perbincangan dan memerlukan penelitian lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
