MGB peroleh kontrak RM118.5 juta bagi projek Residensi Wilayah Fasa 2

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN
A
A
A

SHAH ALAM – Penyedia penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah MGB Berhad (MGB) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada UDA Accord Development Sdn Bhd bagi pelaksanaan projek perumahan Residensi Wilayah Fasa 2 di Jalan Jubilee, Kuala Lumpur.

Nilai kontrak berjumlah RM118.5 juta itu melibatkan kerja-kerja penstrukturan bagi sebuah blok kediaman setinggi 45 tingkat yang menempatkan 702 unit kediaman, podium tempat letak kereta tujuh tingkat, aras kemudahan dan pondok pengawal.

Kerja pembinaan dijangka bermula pada November 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan, iaitu menjelang Mei 2028.

Menurut MGB, penganugerahan kontrak baharu daripada UDA Accord Development itu mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan sebagai rakan pembinaan strategik yang dipercayai, selain mencerminkan rekod prestasi kukuh syarikat dalam melaksanakan projek pembangunan kediaman sektor swasta yang menekankan aspek kualiti, kecekapan dan kebolehpercayaan.

Kontrak baharu itu turut meningkatkan nilai buku pesanan cemerlang MGB kepada kira-kira RM1.25 bilion, sekali gus memastikan kesinambungan aliran kerja projek kumpulan pada masa hadapan.

Program Residensi Wilayah yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) diperkenalkan kerajaan Persekutuan pada tahun 2013 bagi menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti kepada golongan berpendapatan sederhana di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, berkata pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan bermakna itu yang menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.

“Kami berasa bangga menjadi sebahagian daripada pembangunan yang bermakna ini, menyumbang kepada penyediaan perumahan di Wilayah Persekutuan melalui inisiatif Residensi Wilayah bagi menangani isu kemampuan pemilikan rumah di kawasan ini.

“Dalam hal ini, kami berkongsi misi dan nilai yang sama dengan UDA Accord Development, dedikasi untuk menyediakan kediaman mampu milik berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan rakyat, mewujudkan komuniti inklusif serta menyumbang kepada matlamat pembangunan bandar progresif,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

UDA Accord Development merupakan syarikat usaha sama berkaitan UDA Holdings Berhad, yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan). UDA Holdings terkenal dengan komitmen terhadap pembangunan bandar mampan serta pelaksanaan projek perumahan mampu milik di seluruh negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!