Himpunan bantah kehadiran Trump terkawal, tiada insiden tidak diingini - Polis

KUALA LUMPUR - Himpunan bantah kehadiran Trump di Dataran Merdeka di sini pada Ahad ketika hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berjaya dikawal polis tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, himpunan yang bermula sekitar jam 9.30 pagi itu dihadiri kira-kira 100 peserta.
“Himpunan aman itu berjalan dengan tertib tanpa sebarang insiden tidak diingini hasil kawalan rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM berpuas hati dengan tahap disiplin peserta dan kerjasama baik daripada pihak penganjur yang memastikan perhimpunan mematuhi segala peraturan dan arahan keselamatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Fadil berkata, polis mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya mengawal peserta serta memastikan perhimpunan berjalan dengan aman, teratur dan mengikut undang-undang.
“PDRM komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara, selain berperanan memudah cara setiap perhimpunan yang diadakan secara sah dan aman," katanya.
Antara individu yang hadir berucap dalam himpunan itu ialah Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta aktivis yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.
Sebelum itu, pihak penganjur memaklumkan akan mengadakan himpunan terbabit di Ampang Park, Jalan Ampang di Kuala Lumpur sebelum ditukar saat akhir ke Dataran Merdeka atas arahan pihak polis disebabkan faktor keselamatan.
Terdahulu, himpunan tersebut diadakan serentak dengan ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.54 pagi, Ahad sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ketibaan Trump disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sidang kemuncak itu berlangsung bermula 26 hingga 28 Oktober.
Persidangan tersebut menghimpunkan pemimpin tertinggi dari negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama.
Ringkasan AI
- Himpunan bantah kehadiran Trump di Dataran Merdeka berjaya dikawal polis tanpa insiden tidak diingini
- Himpunan dihadiri kira-kira 100 peserta bermula sekitar jam 9.30 pagi
- Polis Diraja Malaysia berpuas hati dengan disiplin peserta dan kerjasama pihak penganjur
- Peserta himpunan termasuk Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan aktivis Tian Chua
- Ketibaan Trump di KLIA disambut oleh PM Anwar Ibrahim, bertepatan dengan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
