Pasukan bomba komuniti dipersiap hadapi Monsun Timur Laut

Khairul Anuar (enam dari kanan) dan Mohamad Yusri (enam dari kiri) bersama pasukan bomba komuniti serta anggota JBPM selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Sempena Persediaan MTL Zon 4 JBPM Perak 2025 di Taman Tasek Temoh, Tapah pada Ahad.
Khairul Anuar (enam dari kanan) dan Mohamad Yusri (enam dari kiri) bersama pasukan bomba komuniti serta anggota JBPM selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Sempena Persediaan MTL Zon 4 JBPM Perak 2025 di Taman Tasek Temoh, Tapah pada Ahad.
A
A
A

TAPAH – Pasukan bomba komuniti di bawah seliaan Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak kini dipersiap sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Zon 4 JBPM Perak, Khairul Anuar Mhd Sayuti berkata, langkah kesiapsiagaan itu termasuk penyerahan sebuah bot kepada pasukan Bomba Komuniti Kampung Menderang dan Kampung Batu Masjid sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan bencana banjir atau kepala air.

Menurutnya, pasukan bomba komuniti berperanan sebagai respon pertama di peringkat kampung sebelum ketibaan anggota bomba untuk menjalankan operasi penyelamatan.

“Pasukan ini dilatih untuk bertindak awal semasa berlaku bencana dengan memastikan keselamatan penduduk, memaklumkan kepada pihak berkuasa dan membantu dalam pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mereka diberikan pengetahuan dan latihan yang mencukupi supaya boleh bertindak tanpa menjejaskan keselamatan diri,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti sempena Persediaan MTL Zon 4 JBPM Perak 2025 di Taman Tasek Temoh di sini pada Ahad.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Khairul Anuar (kiri) bersama Mohamad Yusri (tengah) menyempurnakan gimik penyampaian replika kunci enjin bot dalam Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Sempena Persediaan MTL Zon 4 JBPM Perak 2025 di Taman Tasek Temoh, Tapah pada Ahad.
Khairul Anuar (kiri) bersama Mohamad Yusri (tengah) menyempurnakan gimik penyampaian replika kunci enjin bot dalam Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Sempena Persediaan MTL Zon 4 JBPM Perak 2025 di Taman Tasek Temoh, Tapah pada Ahad.

Khairul Anuar berkata, sebanyak 15 pasukan bomba komuniti dengan keanggotaan kira-kira 150 orang kini berdaftar di Zon 4 yang meliputi kawasan jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Bidor, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Slim River dan Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pasukan itu juga boleh diaktifkan bagi membantu dari segi aset sekiranya berlaku bencana besar yang melibatkan jumlah mangsa ramai.

“Apabila bencana berlaku, aset seperti bot daripada pasukan bomba komuniti ini boleh digunakan.

“Ia penting bagi mempercepatkan gerakan menyelamat sementara menunggu bantuan tambahan daripada bomba,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Yusri menyambut baik penubuhan pasukan bomba komuniti dalam kalangan penduduk.

Beliau turut menasihatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat supaya menjaga dengan baik aset-aset yang diberikan dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan lain.

Ringkasan AI

  • Pasukan bomba komuniti Perak bersiap sedia untuk Monsun Timur Laut dengan perlengkapan bot
  • Bertindak sebagai respon pertama dalam bencana sebelum ketibaan anggota bomba utama
  • Dilatih untuk memastikan keselamatan penduduk dan membantu pemindahan mangsa ke PPS
  • Sebanyak 15 pasukan bomba komuniti dengan 150 orang anggota berdaftar di Zon 4
  • Aset seperti bot boleh digunakan oleh pasukan komuniti ketika bencana berlaku

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!