Sidang Kemuncak ASEAN: Pasukan Hazmat dalam keadaan siap siaga tinggi - Bomba

KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) diletakkan dalam keadaan siap siaga tinggi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada hujung minggu ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam perkara menentu sahkan sebarang panggilan kecemasan yang jika diterima melibatkan kawasan mesyuarat, penginapan dan perjalanan delegasi.
"Persiapan dengan tumpuan utama bagi Pasukan Bomba dan Penyelamat di Kuala Lumpur. Pasukan Hazmat juga diletakkan dalam keadaan siap siaga tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Terdahulu Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur serta penilaian kesiapsiagaan operasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN telah dilaksanakan.
Pemeriksaan itu meliputi kawasan penting seperti laluan masuk dan keluar delegasi ASEAN, tempat penyimpanan bekalan tenaga, Bilik Gerakan PDRM, 'Fire Control Room', penempatan Pasukan Operasi Bomba Kuala Lumpur serta papan tanda keselamatan di premis berkenaan.
Tujuan pemeriksaan keselamatan dan penilaian kesiapsiagaan operasi tersebut adalah untuk memastikan tahap keselamatan dan kecekapan pengurusan kecemasan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berada pada tahap optimum menjelang Sidang Kemuncak ASEAN.
Secara lebih terperinci, JBPM menilai tahap keselamatan premis dalam memastikan semua kemudahan, laluan keluar masuk, dan sistem keselamatan berada dalam keadaan baik serta mematuhi piawaian yang ditetapkan.
JBPM turut memberi jaminan pihaknya telah bersedia sebaiknya demi keselamatan delegasi ASEAN serta memastikan pergerakan keluar masuk tetamu kehormat dan delegasi berlangsung dengan lancar, selamat, dan terkawal.
JBPM turut membantu kesiapsiagaan agensi keselamatan seperti PDRM serta pasukan keselamatan dalaman bangunan dalam memberi tindak balas awal kebakaran.
Selain itu, JBPM turut memastikan fungsi sistem sokongan kritikal termasuk bekalan tenaga, sistem penggera kebakaran, dan bilik kawalan beroperasi dengan baik.
Ringkasan AI
- Pasukan Hazmat dalam keadaan siap siaga tinggi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
- Ketua Pengarah JBPM berkerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia dalam menangani kecemasan di kawasan mesyuarat, penginapan dan perjalanan delegasi
- Pemeriksaan keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah dilaksanakan termasuk kawasan penting dan sistem keselamatan
- Tujuan pemeriksaan untuk memastikan tahap keselamatan dan kecekapan pengurusan kecemasan pada tahap optimum
- JBPM menjamin keselamatan maksimum bagi delegasi ASEAN dan memastikan sistem sokongan kritikal berfungsi dengan baik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
