Dua beranak maut nahas tiga kenderaan

KLUANG – Dua beranak maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam berhampiran Kampung Bukit Kenangan, Simpang Renggam, pada Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.16 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, Toyota Hilux dan van kilang.
“Nahas mengakibatkan pemandu Perodua Kancil, seorang wanita berusia 51 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, seorang lagi penumpang kereta, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera manakala pemandu van kilang berusia 53 tahun turut mengalami kecederaan.
“Pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki dewasa turut cedera dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Dua beranak maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki terlibat dalam nahas di Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam
- Komander BBP Renggam, Shoromi Salleh, menyatakan nahas melibatkan tiga kenderaan
- Pemandu Perodua Kancil, wanita 51 tahun bersama anak lelakinya 15 tahun meninggal di tempat kejadian
- Seorang kanak-kanak lelaki 9 tahun cedera manakala pemandu van kilang 53 tahun mengalami kecederaan
- Pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki dewasa, turut cedera dan dibawa ke hospital sebelum pasukan bomba tiba
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

