Nahas lima kenderaan: Polis sahkan dua kematian

Laporan Sinar Harian berhubung Nahas 5 kenderaan: Wanita maut ketika cuba bantu mangsa kemalangan.
Laporan Sinar Harian berhubung Nahas 5 kenderaan: Wanita maut ketika cuba bantu mangsa kemalangan.
A
A
A

MANJUNG - Polis mengesahkan dua kematian dalam insiden membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kayan, dekat Sitiawan di sini pada Rabu.

Mangsa maut dikenal pasti sebagai Aida Zuriana Abdullah, 40, yang membonceng motosikal jenis SYM bersama suami dan dua anak serta pemandu treler, Muhammad Hashim Yamah, 38.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 8.25 pagi di Kilometer 32 Jalan Teluk Intan-Sitiawan.

"Hasil siasatan mendapati lima kenderaan terbabit dalam kemalangan berkenaan iaitu sebuah treler, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua motosikal dan sebuah kereta," katanya dalam kenyataan ringkas pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Inspektor Mohd Hairy Baharuddin di talian 014-5654565 untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tindakan mulia empat sekeluarga yang berhenti membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila mereka dilanggar sebuah treler dalam nahas membabitkan lima kenderaan.

Kejadian itu turut mengakibatkan dua anak perempuan Aida Zuriana, masing-masing berusia tiga dan enam tahun, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, manakala suaminya berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Media dimaklumkan, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar empat kenderaan lain yang diparkir di laluan kecemasan.

Ringkasan AI

  • Polis mengesahkan dua kematian dalam insiden kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kayan, Sitiawan
  • Mangsa maut adalah Aida Zuriana Abdullah dan Muhammad Hashim Yamah
  • Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian
  • Kemalangan itu melibatkan sebuah treler, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua motosikal dan sebuah kereta
  • Siasatan lanjut masih dijalankan dan masyarakat diminta membantu polis dengan maklumat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!