Demi rating, wartawan dihanyutkan arus deras banjir

RAWALPINDI - Sebuah rakaman tular memaparkan seorang wartawan Pakistan dibawa arus deras ketika sedang membuat liputan secara langsung mengenai banjir dahsyat.
Kejadian itu berlaku berhampiran Empangan Chahan di Rawalpindi yang memaparkan kegigihan mangsa dikenali sebagai Ali Musa Raza yang tetap menjalankan tugas meskipun banjir sudah mencapai paras leher.
Detik akhir menunjukkan mikrofon masih di tangannya sebelum Raza 'hilang' beberapa saat kemudian.
Klip itu turut dikongsikan Al Arabiya English di Facebook setelah beberapa pihak pada mulanya sangsi jika rakaman tersebut dijana teknologi kecerdasan buatan (AI).
Rakaman dramatik itu menerima pelbagai reaksi warganet yang menzahirkan rasa kagum atas kesungguhannya yang sanggup 'tenggelam' dalam banjir dan ada yang bimbang dengan keselamatannya.
Segelintir pengguna media sosial juga mengkritik tindakan berani Raza yang sanggup membahayakan nyawanya semata-mata demi menaikkan rating bahan berita tersebut.
Hujan lebat luar biasa sejak tiga minggu lalu telah meragut lebih 170 nyawa dan separuh daripadanya ialah kanak-kanak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

