Pemancing maut selepas vape meletup di muka

Serpihan vape (gambar kecil) yang ditemui bersama mangsa dalam kejadian di daerah Nong Bua Lamphu, Thailand. Foto Agensi
Serpihan vape (gambar kecil) yang ditemui bersama mangsa dalam kejadian di daerah Nong Bua Lamphu, Thailand. Foto Agensi
A
A
A

NONG BUA LAMPHU - Seorang lelaki berusia 47 tahun ditemui maut selepas peranti vape miliknya dilapor meletup di muka dalam kejadian di daerah Nong Bua Lamphu, Thailand.

Menurut kenyataan polis di Facebook, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.20 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu lalu.

Mangsa yang merupakan penduduk Subdaerah Na Kham Hai ditemui terbaring berhampiran motosikalnya di kawasan aliran air di Kampung Ban Kut Chim.

Siasatan awal mendapati mangsa baru pulang ke rumah untuk bersarapan selepas tamat waktu bekerja sekitar jam 6 pagi.

Dia kemudian keluar membawa peralatan memancing sebelum ditemui tidak bernyawa berhampiran motosikalnya.

Bedah siasat sahkan mangsa mengalami kecederaan dalaman serius selain cedera di bahagian mulut, tangan kiri dan dada.

Beberapa serpihan logam dipercayai daripada bateri vape yang meletup turut ditemui tertanam dalam luka berkenaan.

Laporan forensik mengesahkan letupan bateri itu menyebabkan kecederaan dalaman yang serius termasuk kerosakan teruk pada paru-paru dan jantung.

Bahagian dalam dan luar mulut mangsa koyak akibat letupan, manakala kesan jelaga dan lecur turut ditemui pada bahagian mulut serta tangan kirinya.

Artikel Berkaitan:

Tiada kesan tembakan atau unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.

Pihak berkuasa menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan risiko tersembunyi penggunaan vape yang menggunakan bateri litium, kerana ia boleh meletup tanpa amaran serta mengakibatkan kecederaan serius atau kematian. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki di Thailand meninggal akibat letupan vape di mukanya
  • Kejadian berlaku di daerah Nong Bua Lamphu dan dilaporkan pada waktu pagi
  • Mangsa ditemui terbaring berhampiran motosikalnya di kawasan aliran air
  • Bedah siasat sahkan mangsa mengalami kecederaan dalaman serius dan luka akibat serpihan logam
  • Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai tentang risiko penggunaan vape yang menggunakan bateri litium

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!