Lelaki ditemui maut dalam kereta di kawasan rehat Batu Kawan

BATU KAWAN – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran kawasan rehat berdekatan Tol Bandar Cassia, di sini pada petang Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bergegas ke lokasi.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian pada jam 4.17 petang, pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Toyota Vios yang diparkir di kawasan berkenaan.
“Anggota bertugas kemudiannya membuat ‘size up’ dan membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.16 petang dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT)," ujarnya.
Ends.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam kereta berhampiran Tol Bandar Cassia Batu Kawan
- Panggilan kecemasan diterima pihak bomba pada jam 4.10 petang
- Lelaki itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah Toyota Vios
- Mangsa berusia 43 tahun disahkan meninggal oleh KKM
- Mayat diserahkan kepada polis, operasi berakhir jam 6.16 petang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

