Lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan kes bunuh rakan senegara

Polis menahan seorang lelaki etnik Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kematian rakan senegara. Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki etnik Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kematian rakan senegara. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki etnik Rohingya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian rakan senegara yang ditemui dengan kesan luka di kepala berhampiran Menara UOA Bangsar, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek ditahan di kawasan berdekatan lokasi kejadian hasil maklumat dan risikan polis selepas penemuan mayat berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa baru mengenali kira-kira sebulan lalu dan tinggal bersama di bawah jejambat di Jalan Bangsar.

“Suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu selepas berlaku pertengkaran antara mereka pada malam kejadian hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia selepas ditolak jatuh ke dalam saluran air bahagian belakang bangunan kedai yang telah tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Chang Hook berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan pihak polis akan memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh sembilan jam selepas mangsa ditemui mati,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga asing dipercayai gelandangan ditemui mati dibunuh di Persiaran Ara Kiri, Bangsar, di sini pada Selasa.

Chang Hook dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 8.03 pagi Rabu.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 10.21 malam Selasa, mangsa berusia lingkungan 40-an ditemui dengan kesan luka di kepala.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki etnik Rohingya ditahan berhubung kematian rakan senegara di Kuala Lumpur
  • Suspek dan mangsa baru berkenalan sebulan lalu dan tinggal bersama di bawah jejambat di Jalan Bangsar
  • Pertengkaran antara mereka menyebabkan mangsa meninggal setelah ditolak masuk ke dalam saluran air
  • Suspek kini ditahan di IPD Brickfields dan polis akan memohon perintah reman
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!