Kegiatan curi kabel tumpas, tiga termasuk dua wanita ditahan

PETALING JAYA – Kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) terbongkar apabila polis menahan tiga individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Putrajaya pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 4 pagi susulan laporan kes curi kabel yang dibuat pada 17 Oktober lalu.
"Hasil serbuan berkenaan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 16 rekod lampau dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux kemudiannya menemukan beberapa barangan yang digunakan untuk kegiatan mencuri kabel serta barangan kes berkait siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Kajang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah suspek membawa kepada tangkapan dua wanita dipercayai terlibat dalam kes pemerasan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dilaporkan di Tapah.
"Ketika serbuan dijalankan, beberapa suspek lain sempat melarikan diri menggunakan dua kenderaan jenis Proton X50 dan Perodua Ativa.
"Kenderaan Proton X50 ditemui ditinggalkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, manakala pemeriksaan di dalamnya menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi mencuri kabel serta barangan kes lain," katanya.
Menurutnya, pasukan serbuan turut mengejar sebuah Perodua Ativa yang disyaki dinaiki dua suspek hingga ke kawasan Pusat Rekreasi Sungai Tekala, Semenyih, sebelum berjaya menahan mereka bersama barangan disyaki digunakan dalam kegiatan sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Ringkasan AI
- Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita kerana mencuri kabel milik Telekom Malaysia di Putrajaya
- Serbuan dilakukan pada jam 4 pagi susulan laporan kes curi kabel pada 17 Oktober
- Seorang lelaki yang ditahan mempunyai 16 rekod lampau dan positif dadah jenis methamphetamine
- Pemeriksaan kenderaan mendapati barangan untuk mencuri kabel dan bukti kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan
- Serbuan menyebabkan penahanan dua wanita dan penemuan kenderaan dengan peralatan curi kabel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

