Penutup 'manhole' tenggelam, Jalan Larut sesak

GEORGE TOWN – Sebuah penutup telekomunikasi (manhole telco) dilaporkan tenggelam ke dalam lubang di Jalan Larut di sini petang Rabu, dipercayai akibat penutup besi berkenaan yang telah berkarat dan reput.
Kejadian itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya, malah turut menyebabkan kesesakan lalu lintas berikutan hujan lebat serta orang ramai yang pulang dari tempat kerja.
Susulan itu, pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing bagi mengelak lubang tersebut sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi untuk mengambil tindakan.
Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, penghadang plastik telah diletakkan di kawasan tersebut sebagai langkah sementara bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Penutup yang tenggelam itu terletak di tengah laluan utama dan berada di bawah rangkaian lama sebuah syarikat telekomunikasi dikenali sebagai MyISP, yang sebelum ini dikenali sebagai TSSB.
“Pemeriksaan mendapati penutup ‘manhole’ tersebut telah berkarat dan tenggelam ke dalam ruangnya,” katanya pada Rabu.
Tambah beliau, pasukan kakitangan dari Indah Water Konsortium (IWK) dan Time turut membantu mengangkat serta meletakkan semula penutup itu ke kedudukan asal.
“MBPP sedang memantau keadaan di lokasi dan akan berhubung dengan pihak berkaitan untuk tindakan pembaikan menyeluruh.
“Penutup itu telah diletakkan semula di tempat asal kerana penutup baharu perlu dipesan dan memerlukan masa untuk sampai ke sini. Berapa lama tempohnya, saya tidak pasti kerana ia perlu dibeli dalam satu set (kerangka dan penutup),” katanya.

Mengulas lanjut, Soo Siang berkata menurut jurutera berkaitan, kejadian itu tidak akan menyebabkan insiden lain yang lebih buruk berlaku seperti lubang benam.
“Kejadian ini hanya melibatkan penutup sahaja. Lubang itu diperbuat daripada ‘precast concrete’, manakala penutupnya daripada besi.
“Ia telah berkarat lalu terjatuh ke dalam lubang tersebut. Pemilik penutup telekomunikasi sedang menguruskan penggantian penutup baharu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu di kawasan tersebut, terutama dalam keadaan hujan yang menyebabkan jalan licin dan pandangan terhad.
“Orang awam juga diminta segera melaporkan sekiranya ternampak lubang atau kerosakan jalan yang boleh membahayakan pengguna lain supaya tindakan pembaikan dapat diambil segera,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Penutup telekomunikasi di Jalan Larut, George Town tenggelam akibat karat
- Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat
- Penghadang plastik diletakkan di kawasan lubang sebagai langkah sementara keselamatan
- Pasukan daripada Indah Water Konsortium dan Time membantu membetulkannya
- Penutup yang berkarat ini milik rangkaian lama syarikat telekomunikasi MyISP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

