PTPTN, My Digital ID jalin kerjasama

Pertukaran MoU antara Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) dengan disaksikan oleh Norliza.
Pertukaran MoU antara Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) dengan disaksikan oleh Norliza.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalin kerjasama strategik dengan My Digital ID Sdn. Bhd. (My Digital ID) untuk memperkukuh transformasi digital melalui pengintegrasian identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif itu selari dengan Teras Kelima Pelan Strategik PTPTN 2021–2025 yang menekankan usaha memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui penggunaan teknologi digital.

Menurut beliau, langkah tersebut menjadi bukti komitmen PTPTN dalam menjadikan organisasi itu lebih progresif dan mesra pelanggan selaras dengan agenda pendigitalan negara.

“Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat apabila mereka boleh berurusan dengan mudah, cepat dan selamat di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan My Digital ID yang diadakan di Menara PTPTN di sini pada Selasa.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn Bhd, Nik Hisham Nik Ibrahim, serta disaksikan oleh Norliza sendiri.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn Bhd, Ir Ts Azrin Aris serta pengurusan kanan kedua-dua organisasi.

Kerjasama itu sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi digital negara.

Datuk Seri Norliza berkata, sejak aplikasi myPTPTN diperkenalkan, lebih 2.8 juta pengguna telah mendaftar dan menikmati kemudahan urusan pinjaman, semakan baki, pembayaran balik serta pembukaan akaun Simpan SSPN secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn Bhd, Nik Hisham Nik Ibrahim, berkata kerjasama itu bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan negara malah meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan inovasi dalam sektor pendidikan.

“Lebih penting, ia meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi myPTPTN, orang ramai boleh melayari www.ptptn.gov.my atau memuat turun aplikasi tersebut bagi mendapatkan notifikasi serta perkhidmatan terkini PTPTN.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!